Oleh Yusoff A. Shariff
BEKAS Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Haim Hilman Abdullah yang bertanding sebagai calon Perikatan Nasional bagi kerusi Jitra, enggan memanjangkan polemik berhubung langkah Kementerian Pengajian Tinggi memendekkan tempoh perkhidmatannya.
Dalam post Facebook bertajuk “Ranjau Sepanjang Jalan” Haim, 50, berkata beliau memutuskan untuk tidak mengheret perkara itu lebih jauh kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada kempen pilihan raya negeri ke-15.
Beliau mengakui bahawa terdapat serangan peribadi yang tidak henti-henti terhadapnya sejak kebelakangan ini, tetapi berkata beliau bersedia menghadapinya sebelum memutuskan untuk memasuki politik.
“Berhubung dengan isu berkaitan UUM, saya serah kepada masyarakat untuk menilai apa yang saya perkatakan dan apa yang mereka lihat dan tahu tentang UUM..
“Saya yakin ribuan pelajar saya, rakan sekerja, keluarga serta kenalan yang mengenali diri saya tahu akan prestasi kerja saya, komitmen dan kegigihan saya bekerja dalam usaha memajukan UUM,” katanya.
Haim berkata kejayaan agenda reformasi yang dilaksanakan oleh beliau dalam memperkasakan akademik, hal ehwal pelajar, penyelidikan dan penerbitan, perhubungan industri, kewangan, pelajar antarabangsa dan ranking telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.
” Sehubungan dengan itu saya doakan rakan-rakan di UUM agar terus berjuang dengan ikhlas dan penuh kesungguhan demi memastikan kecemerlangan UUM dapat dipertingkatkan lagi seperti yang pernah kita gagaskan dalam GAGAH.
” Berbalik kepada isu surat KPT, saya tidak mahu memanjangkan polemik dengan KPT kerana saya mahu memberi tumpuan kepada PRN ke 15 Kedah iaitu membantu Perikatan Nasional menang dengan kesemua kerusi DUN,” katanya.
Haim mendoakan kegigihan dan tidak akan berundur daripada perjuangan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses adil kepada pendidikan dan ekonomi masyarakat Melayu yang diperkasa.
Pada hari Sabtu, Kementerian Pengajian Tinggi berkata tempoh perkhidmatan Haim sebagai naib canselor UUM dipendekkan kerana prestasinya.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata laporan prestasi kepimpinan Haim telah diserahkan kepada lembaga pengarah universiti itu melalui surat bertarikh 16 Jun 2022.
Ia berkata sebelum keputusan dibuat untuk memendekkan tempoh perkhidmatan Haim sebagai naib canselor UUM, sebuah jawatankuasa telah dibentuk di peringkat menteri untuk mengkaji dan menilai laporan tersebut.
Kementerian menafikan dakwaan bahawa pemendekan pelantikan Haim ada kaitan dengan beliau bertanding di Jitra.
-BTS Media