Oleh Yusoff A. Shariff
GOOD Vibes Festival (GVF) diteruskan walaupun terhenti mengejut semasa persembahan oleh band ‘The 1975’ malam tadi.
Band British ‘The 1975’ itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai apabila penyanyinya, Matt Healy mengeluarkan kata-kata mencaci, mencarut dan menghina undang-undang anti-LGBT negara.
Kumpulan yang menutup malam pertama pesta itu dijadualkan membuat persembahan selama sejam.
Bagaimanapun, persembahan mereka telah dihentikan sejurus selepas kumpulan itu mempersembahkan lagu kelima, apabila vokalis Matt Healy mengeluarkan kata-kata kotor yang menghina kerajaan dan undang-undang Malaysia, selain mencium seorang lelaki anggota band tersebut.
Penganjur pesta mengesahkan demikian dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan malam tadi.
“Kepada mereka yang hadir pada hari Jumaat, 21 Julai 2023, kami memahami kekecewaan anda.
“Jika anda mempunyai gelang tangan pesta hari Jumaat, anda kini boleh menghadiri festival itu sama ada pada hari Sabtu atau Ahad.
“Kami kesal kerana prestasi ‘The 1975’ terpaksa dipendekkan kerana tidak mematuhi garis panduan persembahan,” kata kenyataan itu.
Penyanyi kumpulan itu, Matt Healy, dilihat membuat persembahan sambil memegang sebotol arak, menyalakan rokok dan meludah di atas pentas semasa set persembahan mereka malam tadi.
Dia turut mengeluarkan kata-kata biadab dan kotor terhadap kerajaan dan undang-undang Malaysia.
Dia kemudian telah mencium pemain gitar lelaki kumpulan tersebut, dan meneruskan persembahan dua lagu terakhir pada malam itu.
“Baiklah, itu saja daripada kami. Kami diharamkan di Kuala Lumpur,” katanya sebelum meninggalkan pentas, justeru membuatkan penonton terpinga-pinga, lapor NST.
Pesta muzik tiga hari, yang bermula semalam (21 Jun) hingga 23 Julai itu dijadual dipenuhi lebih 40 artis antarabangsa dan tempatan.
-BTS Media