ATAS: Gambar hiasan.
Oleh Zainal AS Rashid
HAMPIR 90 peratus pengusaha makanan dan minuman di Ampang Jaya, Selangor, tidak memakai pelitup muka walaupun kerajaan Selangor mengarahkan berbuat demikian sejak 1 Januari lalu.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata walaupun penangguhan selama enam bulan diberikan, sebahagian besar pengendali makanan masih tidak mematuhi arahan.
Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat MPAJ dalam satu kenyataan berkata mulai 1 Julai ini, PBT akan mula mengambil tindakan terhadap pengendali yang ingkar.
“Ketika menjalankan pemantauan, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ mendapati 90 peratus pengendali makanan tidak patuh arahan itu.
“Pengendali (makanan) mesti akur kerana ia adalah arahan daripada kerajaan negeri.”
Sebelum ini dilaporkan bahawa pasukan penguatkuasa MPAJ seramai 280 orang terpaksa mengawasi kira-kira 800 restoran dan 5,000 peniaga makanan kecil di bawah bidang kuasanya.
MPAJ berkata ketidakpatuhan boleh menyebabkan pengendali berdepan kompaun RM1,000 di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Perdagangan, Perniagaan dan Perindustrian (MPAJ) 2007.
“Sehingga kini, MPAJ telah menghantar 5,000 notis kepada pengusaha makanan dan 13,000 notis melalui e-mel.”
Peraturan itu, yang bertujuan meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan, terpakai kepada semua pengendali makanan termasuk tukang masak, pelayan dan penjaja.
Keperluan ini adalah sebahagian daripada syarat pembaharuan lesen untuk pengusaha makanan mulai tahun ini.
-BTS Media