BTS Media

14 kes strok haba setakat semalam – KKM

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) merekodkan 14 kes strok haba akibat cuaca panas setakat semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Suani, berkata pihaknya menjangkakan kes strok haba terus meningkat akibat cuaca panas yang berlaku hingga Ogos ini.

“Sehingga semalam, 14 kes dilaporkan namun masih terkawal dan mampu ditampung di fasiliti kesihatan seluruh negara.

“Terdapat enam kes dilaporkan di Kelantan, Sarawak (5) dan Sabah (3) sehingga semalam dengan paling ramai membabitkan golongan dewasa iaitu tujuh kes,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian kepada media di Kubang Kerian, Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, daripada jumlah kes itu, 13 mangsa sudah pulih kecuali satu kes kematian di Kelantan membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Menurutnya di peringkat KKM, kepimpinan tertinggi telah melakukan usaha dan mendengar taklimat daripada kementerian berkaitan serta bersiap siaga bagi menghadapi strok haba yang berpanjangan.

“KKM akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menguar-uarkan maklumat dalam televisyen atau media sosial, juga wakil rakyat diminta mengambil peranan supaya menyebar luas tentang senario cuaca panas di negara ini.

“Ketika ini situasi terkawal, fasiliti KKM dan hospital bersedia menerima semua kes seperti strok haba serta kekejangan haba,” katanya.

Sementara itu, Lukanisman berkata, KKM turut mengenal pasti lokasi yang mengalami suhu tinggi menerusi kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk tindakan segera termasuk menyediakan fasiliti kesihatan.

“Ibu bapa diminta tidak terlalu bimbang untuk hantar anak ke sekolah, sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga terutama pengambilan air secukupnya selain tidak melakukan riadah sukan berlebihan.

“Pesawah, peladang, dan pekebun juga perlu berhati-hati pada musim panas, perlu berehat dan minum air secukupnya bagi mengelak sebarang insiden,” katanya.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/05/13/14-kes-strok-haba-setakat-semalam/

Leave a Comment