BTS Media

Asyik sentap kerana ‘troll’ nakal terhadap Anwar di media sosial, Fahmi diminta tidak buang masa SKMM, Polis – Yaakob Osman

MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil disaran menumpukan perhatian kepada penambahbaikan akses Internet, infrastruktur telekomunikasi dan penerangan kepada rakyat tentang inisiatif kerajaan.

Bagaimana pun, apabila dia dilihat ‘mudah sentap’ apabila berlaku kenakalan di media sosial yang dianggap memburukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dia tidak berlengah untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil tindakan segera.

Ketua Bahagian BERSATU Nibong Tebal, Yaakob Osman berkata tindakan sedemikian boleh menyebabkan undi daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) berkurangan, kerana lebih mengutamakan tindakan untuk menangani ‘troll’ terhadap bosnya itu.

Beliau berkata jika nak kira dan dilayan kenakalan dalam talian, seperti ‘troll’ seumpama itu hingga meminta SKMM dan polis menyiasat setiap kali ia berlaku, maka tidak ada kerja lain untuk ditumpukan oleh dua agensi kerajaan tersebut daripada sejak pentadbiran Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri.

“Eloklah menteri fokus kepada penambahbaikan broadband, murah tetapi laju, fokus kepada infra telekomunikasi, penyiaran dan penerangan kepada rakyat tentang inisiatif kerajaan.

“Kalau asyik trigger bab ‘troll’, memang akan lagi kuranglah undi pada PH. Tak percaya? Tunggu dan lihat,” katanya dalam hantaran Facebook pada Ahad.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil meminta SKMM dan polis menyiasat satu hantaran di Facebook yang memfitnah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan menularkan gambar lama.

Bagi Fahmi, pemilik akaun Facebook ‘Sam MY’ itu berniat jahat dan sengaja menimbulkan prasangka buruk terhadap Anwar, apabila menyiarkan gambar berkenaan sambil mengaitkan saranan kerajaan supaya rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat.

“Pemfitnah ini telah menggunakan gambar lama (individu di kanan gambar Abd Rahman Yusof, kenalan saya telah lama meninggal dunia pada 8 Jun 2021) dalam fitnah ini.

“Saya telah mohon SKMM dan PDRM siasat segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

-BTS Media

Leave a Comment