KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) melalui Lembaga Penapis Filem (LPF) memperkenalkan dua pengelasan baharu dalam Klasifikasi Filem 2023, selain menyahkan keperluan bimbingan ibu bapa bagi penonton kategori 13 tahun berkuat kuasa hari ini.
Dua kategori ditambah adalah P12 iaitu penonton semua peringkat umur dan bimbingan ibu bapa diperlukan bagi penonton berumur bawah 12 tahun dan kategori 16 bagi penonton berumur 16 tahun ke atas.
Klasifikasi lain berdasarkan Akta Penapisan Filem 2022 adalah U (penonton semua peringkat umur); 13 (penonton berumur 13 tahun ke atas) dan 18 (penonton berumur 18 tahun ke atas).
Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata penambahbaikan klasifikasi filem itu selepas mengambil kira perkembangan positif selaras keperluan semasa industri perfileman dan penyiaran negara.
“Prinsip yang diberi keutamaan untuk penentuan klasifikasi filem adalah memelihara kebebasan penonton dewasa untuk memilih filem yang ingin ditonton; melindungi kanak-kanak dan remaja bawah usia 18 tahun daripada terdedah kandungan filem tidak sesuai dengan peringkat umur; dan menggalakkan ibu bapa agar lebih bertanggungjawab dalam membimbing anak-anak memilih kandungan filem yang sesuai untuk ditonton,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Klasifikasi Filem 2023 diwartakan melalui Peraturan-peraturan Penapisan Filem (Pengelasan Filem) 2023 pada 9 Jan.
“Klasifikasi Filem 2023 ini dihasratkan akan memberi kesan positif dalam aspek penyeragaman dan peningkatan standard klasifikasi filem di Malaysia agar setanding dengan sistem klasifikasi atau penarafan filem yang dilaksanakan di luar negara,” katanya.