SINGAPURA: Penduduk republik ini yang sudah mendapatkan suntikan penggalak mRNA dilindungi dengan baik daripada COVID-19 teruk, termasuk varian terkini seperti Kraken.
Demikian kata pakar penyakit berjangkit, Sekolah Perubatan Duke-NUS, Profesor Ooi Eng Eong, yang dipetik Berita Harian Singapura.
“Inilah yang penting sekarang, sedang COVID-19 sudah endemik – supaya orang ramai tidak sakit teruk atau mati akibat penyakit ini,” katanya.
Antibodi meneutralkan, yang melindungi daripada jangkitan, tidak lagi penting dalam keadaan endemik, lebih-lebih lagi kerana ia berkurangan dalam beberapa bulan.
Vaksin memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit teruk dan kematian kerana ia dapat mempersiapkan fungsi sistem imun lain.
“Ia juga berkesan bagi mengehadkan penyebaran jangkitan dalam badan kita selain mempersiapkan semua mekanisme perlindungan badan,” kata Prof Ooi.
Tambah beliau, walaupun hanya 2.2 juta orang di Singapura disenaraikan secara rasmi sebagai dijangkiti, pakar menganggarkan bahawa sekitar 90 peratus daripada penduduk sudah dijangkiti virus Sars-CoV-2, lapor The Straits Times.
Jika mereka sudah disuntik vaksin, mereka akan mempunyai perlindungan hibrid, yang memberikan pertahanan lebih baik terhadap penyakit teruk berbanding imuniti disebabkan vaksinasi atau jangkitan saja.
Terdapat data yang mencukupi sekarang untuk yakin bahawa pada mereka yang tidak terjejas oleh penyakit kronik atau ubat-ubatan, imuniti hibrid yang terhasil melindungi dengan kuat daripada jangkitan gejala berikutnya, dan terutamanya Covid-19 yang teruk.”
Setakat ini, bagi dewasa yang sihat, satu suntikan penggalak iaitu tiga suntikan mRNA atau empat suntikan Sinovac memadai untuk melindungi daripada penyakit COVID-19 teruk termasuk varian baru, kata Prof Ooi.
“Inilah yang dikenali di Singapura sebagai perlindungan minimum – yang dimiliki 83 peratus mereka yang layak divaksinasi.
“Walaupun varian baru yang muncul mungkin agak berbeza, mereka semua berkongsi lebih 90 peratus daripada protein virus, yang dikenali sistem imun.
“Ia mungkin mengambil masa lebih lama untuk berbuat demikian, tetapi dalam individu normal yang sihat, badan akan bertindak balas untuk mencegah penyakit yang teruk,” katanya.
Tambah beliau, bagi mereka, manfaat suntikan tambahan adalah sedikit kerana mereka sudah mempunyai perlindungan sangat baik.
Bagaimanapun, individu yang berisiko tinggi mungkin perlu mengambil suntikan penggalak secara kerap kerana imuniti semula jadi mereka lebih rendah.
Ini termasuk warga emas, penghidap kencing manis yang tidak terkawal, pesakit barah yang menggunakan ubat tertentu dan pesakit pemindahan organ.
Bagi mereka, perlindungan terhadap jangkitan mungkin penting.