PELANCONG luar ke Bali tidak akan didakwa di bawah undang-undang baharu yang akan menjadikan jenayah hubungan seks di luar nikah, kata pegawai.
Di bawah undang-undang baharu itu hukuman penjara sehingga setahun boleh dikenakan bagi pasangan belum berkahwin melakukan hubungan seks atau enam bulan bagi mereka yang bersekedudukan, lapor BBC.
Bagaimana pun, gabenor Bali berkata pihak berkuasa tidak akan menyemak status perkahwinan pelancong asing.
Undang-undang itu akan berkuat kuasa dalam tempoh tiga tahun lagi, tetapi ia mungkin dicabar.
Perundangan baharu itu adalah sebahagian daripada beberapa siri pindaan kepada kanun jenayah, susulan peningkatan kesedaran di Indonesia yang majoriti penduduknya Islam.
Walaupun larangan seks luar nikah telah menarik perhatian di luar negara, ramai rakyat Indonesia melahirkan kebimbangan bahawa bahagian lain dalam kod baharu undang-undang itu akan lebih dianggap ‘melampau’, termasuk menjadikan satu jenayah apabila mengkritik presiden atau naib presiden.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata undang-undang baharu itu menghakis hak asasi manusia di negara tersebut, tetapi pegawai Indonesia berpendapat bahawa undang-undang itu akan menegakkan “nilai-nilai Indonesia”.
-BTS Media