BTS Media

Pencemaran air di Sungai Langat, kilang segera diarah henti pelepasan cecair putih berbau

Aliran air berbau berwarna putih seakan-akan klorin dikesan di Sungai Langat oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada petang Jumaat (10 Jun)

Susulan itu LUAS telah mengarahkan sebuah kilang supaya menghentikan segera pelepasan cecair tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian dalam kenyataan malam tadi berkata, LUAS menerima maklumat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung pelepasan efluen tersebut pada 3.30 petang semalam.

“Hasil siasatan pihak LUAS mendapati punca insiden aliran air berwarna putih adalah disebabkan terdapat pelepasan efluen daripada sump milik sebuah premis kilang yang melepaskan aliran air putih ke sungai tanpa melalui titik pelepasan akhir efluen premis yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, anggaran jarak lokasi punca pencemaran, iaitu premis kilang berkenaan, ke tiga muka sauk terdekat, iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 adalah 18km, LRA Bukit Tampoi (29.5km) dan LRA Labohan Dagang (40.9km).

Tambahnya, LUAS telah menjalankan 3 pensampelan yang akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa lanjut dan arahan telah dikeluarkan kepada premis tersebut berdasarkan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999.

“(Kilang diarahkan) supaya menghentikan segera pelepasan efluen tersebut yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan kerja pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang.

“Proses pembersihan sedang dilakukan oleh pihak premis,” kata Hee.

Selain itu, katanya, LUAS akan membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999, yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta, serta penjara tidak kurang tiga tahun.

“Tindakan pantas kawalan di tapak telah berjaya mengelakkan potensi henti tugas LRA,” kata Hee.

“Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air Selangor terpelihara.”

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/11/air-warna-putih-berbau-klorin-dikesan-di-sungai-langat/

Leave a Comment