GAMBAR ATAS: Bersatu.org.
Berita baik bagi guru kontrak perkhidmatan (COS) apabila seramai 2,400 orang daripada mereka akan diserap sebagai guru tetap menerusi kuota pengambilan khas guru secara one-off.
Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi rakaman video di Facebook, pada Rabu.
Radzi berkata, surat tawaran kepada guru COS itu akan dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sebelum 31 Mei ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada yang berjaya dan buatlah yang terbaik dalam mendidik anak didik kalian,” katanya.
Katanya, menerusi pengumuman itu, 87 peratus kuota bagi program pengambilan guru secara one-off kini sudah diisi.
Radzi berkata, setakat 11 Mei lalu, seramai 13,770 guru sudah ditempatkan di sekolah- sekolah di seluruh negara.
“Kami memutuskan untuk memberi 2,400 tempat kepada guru COS manakala, baki 2,500 tempat lagi akan diisi untuk matapelajaran yang sukar.
“Baki kekosongan lain adalah untuk matapelajaran yang kita sukar mendapat bekalan daripada pasaran termasuk Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni Visual dan mata pelajaran di sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC),” katanya.