MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak empat tindakan undang-undang yang mencabar nasihat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen ketika pandemik Covid-19 lima tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Aliza Sulaiman selepas mendengar dua permohonan semakan kehakiman yang difailkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Prof Datuk Dr Abdul Aziz Bari.
Dua saman pemula yang berkaitan perkara sama pula difailkan secara berasingan oleh Badan Peguam Malaysia dan Bersih.
Dalam penghakimannya, Aliza berkata deklarasi yang dimohon dalam kes berkenaan berkait dengan perkara yang telah berlaku, termasuk pembatalan, tamat tempoh serta tindakan Parlimen terhadap ordinan darurat.
Beliau berkata mahkamah tidak yakin bahawa relif berbentuk deklarasi yang dimohon oleh pemohon dan plaintif wajar diberikan.
Sehubungan itu, mahkamah menolak kedua-dua permohonan semakan kehakiman serta dua saman pemula berkenaan tanpa perintah mengenai kos.
Pada 24 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan membenarkan Hassan dan Abdul Aziz mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berhubung pengisytiharan darurat yang membawa kepada penggantungan Parlimen.
Kes itu kemudiannya dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran permohonan substantif.
Dalam permohonan mereka, Hassan dan Abdul Aziz memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan Kabinet pimpinan Muhyiddin untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Mereka turut mendakwa keputusan itu tidak mempunyai kesan undang-undang serta melampaui kuasa.
Sementara itu, Badan Peguam Malaysia dan Bersih masing-masing memfailkan saman pemula bagi mencabar beberapa aspek berkaitan pengisytiharan darurat dan ordinan yang diperkenalkan ketika tempoh berkenaan.
-BTSMedia.my



