JABATAN Imigresen menggantung tugas pemandu lori jabatan itu yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur semalam, mengorbankan seorang bapa dan dua anak perempuannya.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, mengesahkan tindakan berkenaan dan memaklumkan penggantungan itu akan kekal sehingga kes berkenaan selesai.
Pemandu berusia 43 tahun itu sedang memandu lori Isuzu milik jabatan berkenaan ketika kenderaan terbabit bertembung dengan dua kereta serta melanggar empat pejalan kaki di persimpangan lampu isyarat Maju Junction kira-kira pukul 1 pagi.
Lori berkenaan tidak membawa tahanan ketika kejadian dan dalam perjalanan dari pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil tahanan selepas satu operasi.
Kemalangan itu mengorbankan Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, serta dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.
Isteri Shaik Mohd Firdaus, Norhayati Razali, 55, pula mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Susulan kejadian itu, polis turut menahan reman pemandu lori berkenaan dan pemandu sebuah lagi kenderaan yang terbabit bagi membantu siasatan.
-BTSMedia.my



