BTS Media

Pasangan suami isteri dikaitkan skim kutu muncul, serah diri kepada polis

PASANGAN suami isteri yang dilaporkan hilang sejak 20 Julai dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes hutang skim kutu akhirnya menyerah diri kepada polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata pasangan berusia 39 dan 36 tahun itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada pukul 1.50 pagi.

Menurut beliau, kedua-duanya dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra pagi ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, pasangan terbabit dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam pada 20 Julai.

Semalam, bapa kepada wanita berusia 62 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas gagal menghubungi serta mengesan anak perempuan, menantu dan cucunya yang berusia sembilan tahun.

Mohd Radzi sebelum ini turut memaklumkan polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian RM25,000 akibat skim kutu yang dipercayai membabitkan pasangan berkenaan. Laporan itu dibuat terhadap wanita berusia 36 tahun tersebut.

Beliau sebelum ini berkata usaha mengesan wanita itu, suaminya yang berusia 39 tahun serta anak mereka yang berusia sembilan tahun sedang dijalankan kerana ketiga-tiga mereka masih belum ditemui ketika itu.

-BTSMedia.my

Leave a Comment