BTS Media

Hampir tujuh daripada 10 mangsa kemalangan jalan raya berusia 16 hingga 40 tahun

GOLONGAN berusia antara 16 hingga 40 tahun mencatatkan hampir 70 peratus daripada keseluruhan mangsa kemalangan jalan raya di negara ini sepanjang tahun lalu, sekali gus menjadikan kumpulan umur tersebut paling banyak terlibat dalam statistik kemalangan.

Berdasarkan data yang didedahkan di Dewan Rakyat, sebanyak 69.4 peratus mangsa kemalangan terdiri daripada individu dalam lingkungan umur berkenaan, dengan kumpulan berusia 16 hingga 20 tahun merekodkan jumlah tertinggi iaitu 6,157 kes.

Ia diikuti kumpulan umur 21 hingga 25 tahun dengan 5,978 kes, 26 hingga 30 tahun (4,716 kes), 31 hingga 35 tahun (3,640 kes), manakala selebihnya melibatkan mereka yang berusia sehingga 40 tahun.

Corak sama turut direkodkan bagi data tahun 2024, manakala individu berusia 70 tahun ke atas hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan mangsa kemalangan. Kumpulan itu juga tidak semestinya merupakan pemandu kerana sebahagian daripada mereka mungkin adalah penumpang atau terlibat dalam kejadian dengan cara lain.

Antara faktor utama yang dikenal pasti menyumbang kepada jumlah kemalangan jalan raya yang tinggi ialah penglibatan kenderaan berat, pemanduan di bawah pengaruh alkohol serta pemanduan secara melulu.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan dilaporkan terus meneliti amalan terbaik antarabangsa berhubung pelesenan pemandu warga emas, termasuk cadangan mewajibkan pemeriksaan kesihatan sebagai syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu untuk mereka yang berusia 70 tahun ke atas.

Bagaimanapun, dapatan kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bersama analisis antarabangsa dilaporkan tidak menemukan bukti yang konklusif bahawa pemeriksaan kesihatan wajib berdasarkan umur mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya secara signifikan.

Selain itu, sekatan yang dikenakan semata-mata berdasarkan faktor umur dikatakan berpotensi menjejaskan mobiliti dan kesejahteraan warga emas, khususnya dalam mendapatkan rawatan kesihatan, menjalankan urusan harian serta menyertai aktiviti kemasyarakatan.

Pada masa ini, pemeriksaan perubatan menggunakan borang JPJL8/JPJL8A kekal diwajibkan bagi semua permohonan baharu dan pembaharuan lesen memandu vokasional, tanpa mengira umur pemohon.

-BTSMedia.my

Leave a Comment