Oleh Yusoff A. Shariff
PENERBITAN statistik kemalangan jalan raya setiap hari akan bertindak sebagai “panggilan kejutan” kepada pemandu dan penunggang motosikal mengenai betapa seriusnya masalah ini dan mengingatkan mereka supaya berwaspada di jalan raya, kata seorang aktivis.
Pengerusi Ikatan Keselamatan Komuniti (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata kemalangan jalan raya menyumbang kepada jumlah kematian yang tinggi di negara ini, lapor NST.
“Oleh itu, penerbitan statistik harian mengenai kemalangan jalan raya bukan sahaja idea yang baik tetapi juga sangat penting bagi mengingatkan tentang jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini.
“Negara ini mencatat purata antara 12 hingga 18 kematian akibat kemalangan jalan raya dalam sehari.
Beliau berkata, pada kadar itu bermakna lebih 6,000 kematian berlaku disebabkan kemalangan jalan raya setiap tahun, di mana 70 peratus ialah penunggang motosikal.
Beliau, yang merupakan bekas naib pengerusi kanan Pencegahan Jenayah Malaysia berkata pengguna jalan raya mesti memandu dan menunggang dengan selamat bagi membantu pihak berkuasa mengurangkan kemalangan.
“Ini memerlukan perubahan sikap dan pemikiran tentang kepentingan keselamatan jalan raya,,” katanya
Beliau juga mencadangkan pihak berkuasa menggunakan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) untuk meningkatkan penguatkuasaan dan mengurangkan kemalangan jalan raya.
“Kita mempunyai kira-kira 5,000 CCTV di sekitar Kuala Lumpur dan beberapa daripadanya dipasang di lampu isyarat di simpang.”
Menjadikan jalan raya selamat dan mengurangkan kemalangan, kata Lee, juga ialah tanggungjawab pelbagai pihak berkuasa.
“Semua jalan raya harus dipantau dan dijaga dengan baik untuk menyelesaikan masalah seperti jalan berlubang atau tidak rata yang boleh menyebabkan kemalangan.”
Semalam, Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Persekutuan mula menerbitkan statistik kemalangan harian, sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya tentang keseriusan keselamatan jalan raya.
Pada hari Khamis, 14 Mac, sejumlah 1,999 kemalangan dan 12 kematian dilaporkan di seluruh negara.
-BTS Media