PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan akan bertanding menggunakan lambang parti sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas mendakwa PAS bertindak secara unilateral menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) tanpa perbincangan bersama dalam Perikatan Nasional (PN).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang bermesyuarat pada malam jari Rabu, sambil melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan PAS yang disifatkan bercanggah dengan semangat serta kepentingan gabungan PN.
Menurutnya, PN sepatutnya berperanan sebagai alternatif kepada BN dan Pakatan Harapan (PH), namun tindakan PAS menjalinkan kerjasama politik dengan BN telah menyimpang daripada matlamat asal gabungan itu.
Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Agihan Kerusi PN yang dijadualkan berlangsung pada 12 Julai ditangguhkan tanpa tarikh baharu selepas PAS mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan BN di negeri berkenaan.
Muhyiddin berkata sehingga kini Majlis Tertinggi PN masih belum dipanggil bermesyuarat, manakala Jawatankuasa Agihan Kerusi juga belum bersidang bagi memuktamadkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen.
Sehubungan itu, katanya, Bersatu memutuskan semua calon parti yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan akan menggunakan lambang Bersatu, bukannya logo PN.
-BTSMedia.my



