KEMENTERIAN Luar Malaysia menerusi perwakilan diplomatiknya di Asia Barat menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara susulan pembatalan penerbangan berikutan perkembangan semasa di rantau tersebut.
Menurut Wisma Putra, bahawa semua takyat Malaysia berkenaan yang telah dihubungi berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti.
Menurut kenyataan pada hari Ahad, perwakilan Malaysia kini sedang menghulurkan bantuan atau berhubung dengan rakyat Malaysia yang terkandas, antaranya di Arab Saudi, United Kingdom, Syria, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu.
Wisma Putra turut menasihatkan semua pengembara Malaysia supaya berhubung secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan jadual penerbangan terkini dan sebarang pelarasan laluan susulan keadaan yang masih tidak menentu, selain gangguan penerbangan dan penutupan ruang udara secara mengejut.
Kementerian itu memaklumkan bahawa Bilik Gerakan di Putrajaya sedang giat menyelaras usaha konsular.
Dalam pada itu, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke rantau berkenaan dalam masa terdekat serta berdaftar melalui sistem E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan bantuan disalurkan dengan segera.
Rakyat Malaysia juga digesa supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, berlindung di lokasi masing-masing sekiranya dinasihatkan berbuat demikian, serta sentiasa memantau laman media sosial rasmi perwakilan diplomatik Malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini di peringkat tempatan.
Bagi bantuan konsular kecemasan, rakyat Malaysia di kawasan terjejas yang tidak dapat menghubungi perwakilan diplomatik Malaysia boleh menghubungi terus Bilik Gerakan kementerian di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.
-BTSMedia.my



