BTS Media

Kebakaran ragut tiga nyawa, dua kilang musnah di kawasan perindustrian Banting

TIGA maut dalam satu kebakaran besar di kawasan perindustrian Jalan 5, Kampung Olak Lempit, Banting pada malam hari Rabu.

Kebakaran itu menyebabkan empat buah kilang terjejas, dua daripadanya musnah sepenuhnya.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.03 malam sebelum sepasukan anggota segera dikerahkan ke lokasi.

Menurut beliau, kejadian melibatkan sebuah kilang pemprosesan minyak dan operasi mengawal terpaksa dijalankan berikutan berlakunya beberapa letupan di dalam kawasan premis terbabit.

Beliau berkata usaha mewujudkan laluan sekat api (fire break) berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke kilang bersebelahan pada sekitar pukul 1.15 pagi.

Kebakaran turut melibatkan dua lagi kilang namun dapat dikawal daripada merebak.

Ahmad Mukhlis berkata dua buah kilang musnah sepenuhnya, manakala sebuah makmal mengalami kerosakan kira-kira lima peratus dan sebuah lagi kilang yang belum dikenal pasti mengalami kerosakan sekitar satu peratus.

Beliau berkata tiga mangsa ditemui rentung di dalam salah sebuah kilang yang musnah, namun identiti mereka masih belum dikenal pasti setakat ini.

Operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting dengan bantuan pasukan dari KLIA, Dengkil, Cyberjaya, Bangi, Petaling Jaya, Presint 7 Putrajaya serta Nilai, Negeri Sembilan.

Selain itu, pasukan bomba sukarela dari Sri Serdang dan Rantau Panjang turut dikerahkan, bersama sokongan pihak polis dan Kementerian Kesihatan bagi melancarkan operasi di lokasi kejadian.

-BTSMedia.my

Leave a Comment