BTS Media

11 orang, termasuk pegawai penguat kuasa, ditahan disyaki terima rasuah permohonan RTK

SEBELAS orang terdiri daripada 10 pegawai penguat kuasa serta seorang pegawai bersara ditahan disyaki menerima rasuah bagi mempercepatkan permohonan di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Sumber memaklumkan bahawa kesemua suspek, tujuh lelaki dan empat wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun, ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi operasi “Op Bleach”  yang dijalankan oleh Bahagian Risikan SPRM.

Mereka dipercayai menerima habuan bagi mempercepatkan proses permohonan pendatang tanpa dokumen sebagai pekerja asing di bawah program tersebut.

Menurut sumber sama, Op Bleach merupakan susulan kepada operasi “Op Rentas”  dan “Op Dygo,” yang menumpukan kegiatan sindiket memanipulasi sistem rasmi melalui kaunter tertentu.

Selepas tangkapan, SPRM merampas lebih RM116,000 wang tunai, 14 telefon bimbit, barang kemas dan jongkong emas, tiga kereta serta dua motosikal.

Seorang pegawai kanan Bahagian Risikan SPRM mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009. Semua suspek dijangka dibawa ke mahkamah majistret Putrajaya hari ini untuk permohonan reman.

— BTSMedia.my

Leave a Comment