BTS Media

Banjir landa Perak: Tiga PPS dibuka, 180 mangsa dipindahkan

HUJAN lebat berterusan di Perak sejak semalam telah mengakibatkan banjir di beberapa kawasan, sekali gus memerlukan pembukaan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung.

Menurut kenyataan oleh sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak (JPBN), seramai 180 mangsa daripada 44 keluarga telah dipindahkan ke PPS sehingga pukul 9 malam tadi.

JPBN memaklumkan, PPS Dewan Komuniti Simpang Halt di LMS mula dibuka pada pukul 7.30 malam dan proses kemas kini jumlah mangsa dan keluarga masih berterusan pada waktu laporan diterima.

Di Manjung, PPS Sekolah Sungai Batu di Pantai Remis dibuka pada pukul 8 malam, yang menempatkan 180 mangsa dari 44 keluarga dari Kampung Sungai Batu dan Kampung Nelayan.

Satu lagi PPS di Manjung di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pengkalan Baru, mula beroperasi pada pukul 8.30 malam, dengan jumlah mangsa dari Kampung Padang Serai masih dalam proses pendaftaran.

Dalam perkembangan berasingan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang, Kampar, telah mencapai paras amaran pada 22.5 meter, berbanding paras normal 21.41 meter.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan hujan di kebanyakan daerah di Perak malam tadi, kecuali di Kerian, Manjung, Perak Tengah, dan Bagan Datuk.

– BTSMedia.my

 

Leave a Comment