BTS Media

Polis siasat video tular MyVi dikepung sekumpulan penunggang motosikal

POLIS sedang menyiasat satu video tular kejadian memaparkan sebuah kereta dikepung dan diugut oleh sekumpulan penunggang motosikal berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong, Selangor, pada pagi hari Ahad.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Muhamad Farid Ahmad berkata, pemandu Perodua Myvi tersebut, seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun, telah membuat laporan polis sejurus selepas kejadian.

Memetik laporan Berita Harian, ACP Muhamad Farid berkata bahawa kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi dan pihaknya masih menyiasat.

Menurut beliau, dianggarkan seramai 20 penunggang motosikal terlibat dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti serta menahan mereka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dan Seksyen 279 kanun sama kerana memandu secara melulu.

Saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

Berdasarkan video tular sepanjang 29 saat itu, kereta mangsa dilihat dikepung oleh kumpulan motosikal tersebut yang seolah-olah menghalang laluannya. Salah seorang penunggang juga dilihat menumbuk cermin di bahagian pemandu dan menendang pintu, memaksa mangsa memperlahankan kenderaannya.

-BTS Media

Leave a Comment