BTS Media

Tunggakan cukai jalan kereta mewah cecah hampir RM36 juta

TUNGGAKAN cukai jalan bagi lebih kurang 10,000 kenderaan mewah di negara ini didapati mencecah nilai terkumpul hampir RM35.7 juta.

Pendedahan itu dibuat ketika Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ) mengingatkan semua pemilik kenderaan supaya melaksanakan tanggungjawab mereka.

Dalam sidang media hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengingatkan agar golongan pemilik kaya berkenaan menjelaskan bayaran tertunggak itu, terutama selepas kerajaan memperkenalkan dasar Budi95 yang memberi subsidi petrol kepada semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata, golongan ultra-kaya juga ada tanggungjawab, dan dengan menikmati subsidi oleh  semua, mereka seharusnya nenunaikan tanggungjawab untuk memperbaharui cukai jalan.

Loke turut memperincikan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menunjukkan tunggakan tersebut melibatkan lima jenama utama:

Rolls Royce: RM6,455,563.70 (345 kenderaan)

Bentley: RM7,055,197.10 (660 kenderaan)

Ferrari: RM4,718,395.60 (675 kenderaan)

Lamborghini: RM3,761,345.40 (372 kenderaan)

Porsche: RM13,751,078.20 (4,308 kenderaan)

Loke berkata, sesetengah pemilik didapati sengaja melengahkan pembayaran, malah ada yang menganggap kompaun RM300 sebagai “berbaloi” dan hanya membayar selepas kenderaan mereka disita.

Sebagai tindak balas, beliau mengumumkan bahawa JPJ telah melancarkan “Ops Luxury,” satu operasi penguatkuasaan berterusan untuk mengesan dan menyita kenderaan mewah tanpa cukai jalan yang sah.

Beliau memberi amaran bahawa pihak berkuasa mempunyai semua nama dan butiran pemilik, termasuk Tan Sri, ahli politik, dan ahli perniagaan, dan tindakan lebih keras akan diambil jika amalan ini berterusan. Namun, beliau menegaskan bahawa buat masa ini, pengumuman tersebut hanyalah satu peringatan.

-BTS Media

Leave a Comment