BAHAGIAN Maran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 8 Julai 2025 menegaskan bahawa keutamaan tertinggi parti dalam menghadapi cabaran adalah untuk terus memacu perjuangan demi rakyat, memperkukuh struktur organisasi, memperluas keanggotaan, dan mempererat kerjasama dengan semua rakan strategik dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh timbalan ketua badan pimpinan negeri BERSATU negeri Pahang, Dato’ Jasri Jamaludin, masa depan negara lebih baik, stabil, dan berintegriti hanya akan tercapai melalui kekuatan dalaman parti yang bersatu dan berpandangan jauh.
Jasri, yang juga Ahli Dewan Newgeri Kuala Sentul, berkata bahawa Bahagian Maran BERSATU menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Presiden Parti, yang dianggap sebagai seorang negarawan berpengalaman, berjiwa besar, dan istiqomah dalam memimpin BERSATU serta Perikatan Nasional.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Tan Sri Muhyiddin telah diberikan mandat dan kepercayaan penuh daripada seluruh perwakilan parti dalam Mesyuarat Agung Tahunan BERSATU pada 30 November 2024, dan seterusnya beliau dipilih untuk terus memimpin parti tanpa dicabar.
Ini, menurut kenyataan itu adalah bukti jelas bahawa majoriti akar umbi dan kepimpinan di seluruh negara meyakini keteguhan prinsip serta kebijaksanaan beliau dalam menghadapi cabaran politik, ekonomi, dan sosial negara.
BERSATU menekankan bahawa parti itu bukan sekadar sebuah entiti politik, tetapi wadah perjuangan rakyat.
Oleh itu, parti tersebut tidak akan sesekali terperangkap dalam polemik dalaman yang melalaikan dan tidak akan berpaling daripada agenda besar rakyat.
Menurut kenyataan itu lagi, apa yang lebih penting kini ialah menyusun dan mengukuhkan Pusat Daerah Mengundi (PDM), menggerakkan bahagian, serta memperluas gerakan latihan dan tarbiah kepada ahli dan anggota baharu.
Di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin, parti itu berhasrat untuk turun ke lapangan, merasakan denyut nadi rakyat, menyantuni warga desa dan kota, serta menyelesaikan isu-isu kehidupan rakyat marhaen yang semakin terhimpit. Ini termasuk isu kos sara hidup, peluang kerja, gaji yang adil, perumahan, dan akses pendidikan berkualiti.
Kenyataan itu turut menggariskan bahawa BERSATU adalah suara tulen rakyat yang tidak tunduk kepada politik elit dan tidak lupa kepada janji perjuangan.
Parti itu berazam untuk kembali memperkukuh akar umbi, menyemai budaya berparti sihat, mendidik pemimpin pelapis yang amanah, dan menyatukan langkah bersama rakan-rakan – khususnya PAS, GERAKAN, dan lain-lain dalam Perikatan Nasional.
Ini adalah demi memastikan kesepaduan politik blok pembangkang terus utuh dan diyakini rakyat.
Beliau berkata, dengan gabungan pengalaman Tan Sri Muhyiddin, semangat juang para pemimpin kanan parti, serta kepimpinan muda dan akar umbi yang cekal, BERSATU dijangka akan tampil sebagai parti nasional abad ke-21 yang unggul dan inklusif, menjangkaui kaum, agama, dan wilayah.
Parti itu berhasrat untuk menawarkan solusi tuntas untuk Malaysia yang lebih adil, sejahtera, dan bermaruah.
Kenyataan tersebut diakhiri dengan seruan kepada seluruh ahli dan pimpinan, dari cawangan hingga pusat, untuk menyatukan tekad dan membuktikan bahawa BERSATU bukan sahaja mampu bangkit semula, tetapi mampu memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang.
-BTS Media