BTS Media

Awas! Sindiket minyak enjin palsu guna botol kitar semula, dijual murah online

PENJUAL minyak enjin palsu dikesan menggunakan pelbagai taktik licik bagi mengelirukan pengguna, termasuk menggunakan botol minyak enjin asli dikitar semula yang diisi dengan minyak berkualiti rendah.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu  kenyataan memaklumkan bahawa siasatan mendapati minyak enjin tiruan turut dijual online pada harga jauh lebih murah.

Selain itu, sindiket turut menggunakan bekas plastik hampir sama dengan produk asli serta mengedarkannya kepada bengkel kenderaan dan kedai alat ganti yang dikenal pasti bukan pengedar sah jenama minyak enjin berkenaan.

Menurut KPDN, terdapat kaedah bagi mengelak ditipu, antaranya pengguna boleh mengambil langkah membeli minyak enjin dari pengedar sah atau dari stesen minyak berjenama.

Pengguna juga disaran agar menggunakan kod keselamatan dengan mengimbas kod QR atau memeriksa nombor siri sebelum membeli minyak enjin, selain meneliti bekas yang digunakan bagi mengelak produk tiruan.

Akhbar Harian Metro memetik seorang pengusaha bengkel membaiki kenderaan di Shah Alam, Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, mengakui kewujudan minyak enjin murah dan palsu di pasaran.

Dia tidak menafikan bahawa terdapat bengkel membaiki kenderaan serta penjual alat ganti kenderaan yang menawarkan minyak enjin lebih murah daripada harga pasaran.

Dia berkata bahawa kualiti minyak enjin murah ini amat diragui dan membawa “kemudaratan” kepada enjin kenderaan.

Berdasarkan pengalamannya, penggunaan minyak enjin tidak berkualiti atau kitar semula akan memberikan kesan buruk kepada kenderaan, termasuk enjin terasa berat dan apabila bahagian dalaman injap dibuka, seolah-olah kereta itu menggunakan minyak yang terbakar.

Dia menyarankan penggunaan minyak enjin tulen dengan yang mempunyai jaminan demi memastikan pelanggan yakin dengan produk yang dijualnya.

Bagaimanapun, punca kewujudan minyak enjin palsu berleluasa adalah kerana ramai pengguna mahukan harga murah, justeru menjadi punca kebanjiran produk ini.

Malah, terdapat juga produk minyak enjin kitar semula yang diisi semula ke dalam tong minyak enjin pelbagai jenama terkenal yang membuatkannya sukar untuk dikesan.

Seorang lagi pengusaha bengkel di Kajang, Selangor, memaklumkan bahawa harga minyak enjin tulen dijual bermula RM80 bergantung kepada jenis minyak (separa sintetik dan sintetik penuh).

Namun, dia berkata bahawa ada pengusaha bengkel yang menjual minyak enjin tiruan pada harga pakej RM50 termasuk penukaran penapis udara dan kos perkhidmatan.

Ini, katanya tidak masuk akal dan pelanggan patut sedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada minyak enjin yang ditawarkan pada harga sebegitu.

Menurutnya, terdapat juga bengkel warga asing yang menawarkan perkhidmatan dengan hanya mencuci bekas minyak enjin sebelum memasukkan semula minyak kitar semula ke dalamnya.

Pilihan terletak di tangan pengguna, dan sekiranya tiada permintaan, sudah pasti tidak akan ada penawaran bagi minyak enjin tiruan.

-BTS Media

Leave a Comment