KAKITANGAN darat yang maut apabila bilah rotor helikopter terkenanya di Batu 9, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Bentong hari ini (6 Feb) telah dikenal pasti sebagai Finsen Reskey Sembiring.
Ketua Polis Daerah Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata lelaki berusia 27 tahun itu terbunuh di tempat kejadian selepas terkena bilah rotor utama pesawat ringan Bell 206.
Menurut beliau juruterbang pesawat berusia 44 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi telah dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan.
“Polis dimaklumkan kira-kira pukul 11 pagi oleh seorang saksi yang melihat pesawat ringan itu hilang kawalan semasa mendarat sebelum terbakar. Kami percaya kejadian berlaku kira-kira pukul 10.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Siasatan awal menunjukkan pesawat itu hilang kawalan semasa mendarat dari ketinggian 0.9m.”
Sebelum ini dilaporkan seorang jurutera warga Indonesia terbunuh apabila rotor helikopter berkenaan terkena kepalanya selepas pesawat itu hilang imbangan dan terbalik ketika mengisi minyak.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata helikopter itu terbakar dan musnah sepenuhnya.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia turut melancarkan siasatan ke atas kemalangan itu.
Di Kuala Lipis, ketua polis negeri Yahaya Othman berkata pesawat yang didaftarkan di Indonesia itu mengangkut bahan binaan untuk kerja pemasangan kabel di tapak.
Beliau berkata penerbangan hari ini (6 Feb) adalah yang keenam sejak helikopter itu mula beroperasi bulan lepas.
-BTS Media