SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 13 lagi pegawai pemeriksaan kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di ibu negara kerana disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat.
Menurut sumber, suspek kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan antara pukul 1 hingga 2 petang semalam dan 10 pagi hingga 3 petang hari ini, apabila mereka hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kesemua mereka dipercayai menerima suapan wang tunai antara RM150 hingga RM1,500 sebulan sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan di tempat bertugas.
“Penahanan kesemua suspek adalah susulan penahanan enam pemeriksa kenderaan pada hari Isnin lalu dan juga hasil soal siasat SPRM terhadap ejen yang diserahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini,” katanya.
Menurutnya sumber itu lagi, sehingga kini SPRM telah menahan 22 suspek termasuk 19 pegawai pemeriksaan kenderaan, seorang ejen dan dua ‘despatch’ yang terbabit dalam sindiket tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009, lapor Bernama.
Beliau berkata kesemua 13 pegawai pemeriksa kenderaan yang ditahan semalam dan hari ini akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas kenyataan mereka direkodkan.