GAMBAR: Harian Metro.
KOMPOSER S. Atan, 75, telah meninggal dunia di kediamannya di Taman Bukit Kajang Baru, Selangor, akibat jangkitan paru-paru.
Kematian S. Atan, yang bernama sebenar Hashim Said, disahkan isterinya Norizan Yeob pada hari Sabtu (16 Nov).
“Suami saya menghembuskan nafas terakhir di rumah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Seniman Veteran Malaysia Sandakiah Azez, berkata Allahyarham S. Atan, yang berasal dari Singapura, tidak sihat selama lebih sebulan dan menerima rawatan di hospital baru-baru ini pada bulan September.
“Saya dan ahli persatuan kerap melawatnya di rumah. Dia menggunakan ventilator dan ucapannya tidak begitu jelas,” katanya.
“Norizan memaklumkan kesihatan suaminya semakin teruk semalam,” katanya. Beliau juga berkata solat jenazah dijangka dilakukan pada pagi hari Ahad.
S. Atan terkenal dengan gubahan genre “Melayu Deli” yang pernah dibawa oleh Sharifah Aini, Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.
Antara lagu Raya popular malar segar karya S. Atan termasuk Menjelang Hari Raya, nyanyian DJ Dave; Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman); Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone); Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah); Hari Mulia (Sheila Majid); dan Indah Beraya Di Desa (Azlina Aziz).
-BTS Media