KUANTAN: Rotavirus disyaki punca 16 individu termasuk kanak-kanak mengalami gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam, selepas mengunjungi Taman Rekreasi Che Minah Sayang di Maran, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran pada Khamis lalu, menerima satu notifikasi wabak Acute Gastroenteritis (AGE) dalam kalangan kanak-kanak dengan gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam selepas mengunjungi taman rekreasi itu.
“Siasatan lanjut oleh PKD Maran mendapati sebanyak 16 kes yang terdiri daripada kanak-kanak berumur dua hingga 11 tahun, dan seorang wanita dewasa berumur 27 tahun dilaporkan dalam wabak ini.
“Semua kanak-kanak terbabit adalah stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Jengka, Maran, manakala wanita yang juga ibu kepada salah seorang kanak-kanak itu dirawat sebagai pesakit luar.
“Hasil ujian makmal mendapati penyebab wabak ini adalah jangkitan Rotavirus, manakala, ujian makmal bagi pengesahan penyakit kencing tikus (Leptospirosis) adalah negatif.
“Wabak Rotavirus ini berkemungkinan berpunca daripada air sungai yang tercemar dengan sisa buangan lampin pakai buang bayi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Susulan kes itu, beliau berkata, JKN Pahang menasihati pihak pengurusan Taman Rekreasi Che Minah Sayang untuk menjalankan kerja pembersihan di sekitar taman rekreasi itu.
Katanya, kerja pembersihan itu termasuk memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat.
“Orang awam juga disarankan untuk cakna dengan tidak membawa anak-anak yang kurang sihat atau warga emas untuk aktiviti rekreasi di taman rekreasi berkenaan .
“JKNP ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi etika kebersihan dengan melupuskan lampin pakai buang bayi dengan cara yang selamat, serta tidak membuang sampah-sarap merata-rata ketika mengunjungi mana-mana taman rekreasi,” katanya.