BTS Media

Taman Kucing Klang, tempat perlindungan kucing terbiar

GAMBAR: MBDKlang

KLANG: Taman Kucing Klang yang menjadi tempat perlindungan khusus bagi kucing terbiar pertama di Bandar Bukit Raja, di sini, dirasmikan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, hari ini.

Baginda sebelum itu menyertai Cat Fun Walk menuju ke Taman Kucing Klang sebelum menyempurnakan perasmian serta melawat Karnival dan Pertandingan Pakaian Kucing Paling Menarik.

Sime Darby Property dalam kenyataannya berkata, projek inovatif itu hasil kerjasama dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bertujuan menyediakan tempat selamat untuk kucing terbiar sambil mempromosikan pemilikan haiwan peliharaan.

“Taman Kucing Klang ini boleh menampung sehingga 200 kucing pada satu-satu masa dan akan dibuka kepada orang ramai pada hujung minggu.

“Ini adalah tempat perlindungan kucing terbiar merangkumi pusat kuarantin, tempat perlindungan dan rumah kucing dan kawasan permainan, semuanya direka untuk menyediakan persekitaran yang selesa kepada kucing di situ.

“Kemudahan itu juga akan memudahkan pengambilan kucing angkat dan menawarkan program pendidikan mengenai penjagaan kucing yang betul untuk masyarakat.

“Pembangunan Taman Kucing Klang ini menjangkau keluasan 0.4 hektar yang terletak di dalam kawasan Taman Bandar Bukit Raja,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MBDK Datuk Noraini Roslan berkata, Taman Kucing Klang kini mempunyai jumlah kuning terbiar sebanyak 38 ekor setakat ini.

“Taman ini dibina dengan ihsan Sime Darby Property Berhad yang bermurah hati menanggung perbelanjaan pembinaan dan konsep reka bentuk Taman Kucing Klang ini, kemudian operasinya diambil alih oleh MBDK.

“Di taman ini juga terdapat pusat isolasi bagi kucing-kucing sakit, pusat rawatan, rumah kucing, tempat bermain dan juga ada tempat perkuburan kucing.

“Taman ini dikhaskan kepada kucing terbiar saja, bukan untuk kucing peliharaan datang bermain.

“Pada masa sama, ada kerisauan itu (Taman Kucing Klang jadi tempat pembuangan kucing yang tidak mahu dibela), tetapi kita akan berusaha mengawal dan menanganinya,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar masyarakat yang membela kucing perlu mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan haiwan itu sepenuhnya.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2024/08/1286578/taman-kucing-klang-tempat-perlindungan-kucing-terbiar

Leave a Comment