BTS Media

Lelaki disyaki perisik Israel dikenali sebagai Shalom Avitan

WARGA Israel ditahan polis bersama enam pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang pada hari Rabu (27 Mac), telah dikenal pasti sebagai Shalom Avitan.

Dia dilaporkan datang ke Malaysia untuk membunuh ketua kumpulan penjenayah saingan.

Menurut akhbar The Times Of Israel, suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Musli Brothers. Selain itu, menurut portal berita Israel Mako, Avitan dipercayai ditugaskan untuk membunuh Eran Haya, ketua kumpulan penjenayah saingan itu.

“Kedua-dua sindiket terlibat dalam pertikaian ganas selama berbulan-bulan. Menurut Channel 12, rumah Avitan, di kawasan kejiranan mewah Bavli, Tel Aviv, telah menjadi sasaran beberapa bom tangan yang dilemparkan oleh anggota Haya.

“Insiden itu dilaporkan pada pertengahan bulan Mac, dipercayai sebelum Haya didakwa memasuki Malaysia,” katanya, lapor NST.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan polis menahan seorang lelaki Israel bersama enam pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, di Kuala Lumpur, pada hari Rabu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu didapati memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu menggunakan pasport Perancis.

Enam senjata api yang ditemui di bilik hotel suspek ialah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer, dan Stoeger, bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam begnya.

Razarudin dilaporkan berkata, berdasarkan soal siasat, suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk membunuh rakan senegaranya yang didakwa ada kaitan dengan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaannya itu.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan dan berkemungkinan suspek mempunyai agenda lain untuk datang ke negara ini. Susulan itu, polis dilaporkan turut menahan tiga warganegara Malaysia termasuk pasangan suami isteri yang disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki Israel itu.

Pasangan berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor.

Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Malaysia yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, menempatkan kira-kira 600 pelarian Palestin.

Pada 2018, seorang saintis Palestin ditembak mati di ibu negara oleh dua lelaki tidak dikenali. Susulan itu, Hamas mendakwa ia dilakukan oleh perisikan Israel Mossad.

-BTS Media

Leave a Comment