GAMBAR: Anadolu
Oleh Zainal AS Rashid
NEGARA-NEGARA pro-Zionis, Britain, Itali dan Finland pada hari Sabtu merupakan kumpulan terbaharu menghentikan pembiayaan kepada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Palestin (UNRWA).
Ini berikutan dakwaan kononnya kakitangannya agensi tersebut terlibat dalam serangan Hamas 7 Oktober tahun lalu ke atas Israel, lapor Reuters.
Ditubuhkan untuk membantu pelarian perang 1948 semasa penubuhan negara haram Israel, UNRWA menyediakan perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Syria dan Lubnan.
Agensi itu membantu kira-kira dua pertiga daripada 2.3 juta orang penduduk Gaza dan memainkan peranan menawarkan bantuan penting semasa pemangsaan Israel ke atas penduduk Gaza sekarang ini.
Sebelum ini, Amerika Syarikat, Australia dan Kanada telah pun menghentikan pembiayaan kepada agensi bantuan itu selepas Israel menuduh 12 orang pekerja UNRWA terlibat dalam serangan rentas sempadan.
Agensi itu telah membuka siasatan terhadap beberapa orang pekerja yang dipecat.
Kementerian Luar Palestin mengecam apa yang disifatkannya sebagai kempen Israel terhadap UNRWA, dan kumpulan pejuang Hamas.
Agensi itu juga mengutuk pemecatan pekerja berkenaan “berdasarkan maklumat yang hanya diperoleh daripada puak Zionis.”
Pejabat Luar UK berkata negara itu menghentikan pembiayaan untuk UNRWA sementara tuduhan dikaji semula dan menyatakan London sebelum ini mengutuk serangan 7 Oktober sebagai keganasan “keji” tanpa mengambil kira keganasan sistematik Israel ke atas penduduk Palestin sejak berpuluh tahun sebelum ini.
“Kerajaan Itali telah menggantung pembiayaan UNRWA selepas serangan kejam ke atas Israel pada 7 Oktober,” kata Menteri Luar Antonio Tajani di platform media sosial X.
Finland juga berkata negara itu telah menggantung pembiayaan.
Ketua Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Hussein al-Sheikh berkata, pemberhentian sokongan itu membawa risiko politik yang besar.
“Kami menyeru negara-negara yang mengumumkan pemberhentian sokongan mereka kepada UNRWA supaya segera membatalkan keputusan mereka,” katanya melalui X.
-BTS Media