KANGAR: Kenyataan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop, yang mendakwa kewujudan ‘Langkah Dubai’ oleh pemimpin pembangkang untuk menggulingkan kerajaan dilihat sebagai cubaan untuk mencetuskan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata dakwaan itu adalah sekadar untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar dihadapi oleh J-KOM, yang sebelum ini terbabit dengan kontroversi isu-isu moral melibatkan pengarah jabatan tersebut.
Shahidan berkata bahawa beliau akan membuat laporan polis terhadap Ismail kerana cuba mencetus ketegangan dalam kalangan rakyat dengan cara menyalahkan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) dalam hal ini.
Beliau mempersoalkan sama ada ‘Langkah Dubai’ itu benar-benar wujud.
“Yang saya nampak, beliau (Datuk Ismail Yusop) telah mencipta ketegangan, dan itu adalah tindakan yang tidak bijak kerana sewenang-wenangnya menuduh individu tertentu sebagai pengkhianat sementara meminta polis untuk mengambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata, “Pengkhianat sebenar ialah timbalan pengarah J-KOM sendiri, yang sengaja membangkitkan perpecahan dan ketakutan dalam kalangan rakyat, kononnya ada gerakan cuba menjatuhkan kerajaan dan menuduh kami (PN) sebagai pengkhianat.”
Shahidan berkata demikian selepas menghadiri Larian Ambang Tahun Baharu 2024 sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Denai Larian Pengkalan Asam, di Kangar, semalam.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat PAS berkata, Ismail tidak layak memegang jawatan Timbalan Pengarah J-KOM kerana hanya tahu menabur fitnah dan mengalihkan perhatian daripada isu moral yang melanda J- KOM sebelum ini.
Menurut Shahidan, jika Perdana Menteri mahukan platform komunikasi rakyat yang berkesan, Ismail sepatutnya dipecat kerana hanya menambah ketegangan dengan tuduhan tidak berasas.
Terdahulu, Ismail mendedahkan dakwaan wujudnya ‘Langkah Dubai’ dengan mendakwa pemimpin parti pembangkang termasuk wakil kerajaan tertentu berada di belakang dengan matlamat sama untuk menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kononnya, ia dirancang ketika pemimpin PN– termasuk pegawai kerajaan– sedang bercuti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Beliau mendakwa bahawa mesyuarat itu adalah untuk membincangkan dan memberikan tugas khusus kepada ‘pegawai’ bertanggungjawab mengenal pasti ahli parlimen yang mungkin berpotensi menukar sokongan kepada pembangkang, semata-mata untuk menubuhkan kerajaan “pintu belakang”.
Selain pemimpin PN, beliau mendakwa penglibatan tokoh politik veteran berpengaruh, termasuk yang bergelar “Tun” bersekongkol dengan pembangkang menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran pimpinan Anwar.
-BTS Media