BTS Media

Singapura gesa orang ramai pakai pelitup muka di tempat sesak kerana kes mingguan melebihi 56,000

GAMBAR: Today.

 

Oleh Fetty Rara

KEMENTERIAN Kesihatan Singapura (MOH) amat menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka ketika berada di tempat sesak walaupun mereka tidak sakit, memandangkan kes Covid-19 kini meningkat melebihi 56,000 minggu lepas.

Dalam satu kenyataan, kerajaan juga akan membuka kemudahan rawatan Covid-19 kedua yang terletak di Dewan Ekspo Singapura 10 di Changi hujung minggu ini.

Sebagai tambahan kepada kemudahan sedia ada di Hospital Crawfurd, Adam Road, kedua-dua fasiliti itu akan mampu menerima lebih 80 pesakit Covid-19 yang stabil, dan tidak memerlukan rawatan intensif di hospital.

Bermula 19 Disember, MOH akan menyatakan kemas kini harian mengenai kes Covid-19 di laman webnya untuk memberikan maklumat terkini sepanjang tempoh peningkatan kes sekarang.

Memandangkan ujian Covid-19 tidak lagi diperlukan, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan dijangka kurang menggambarkan keadaan sebenar, kata MOH.

Untuk mendapatkan anggaran lebih tepat tentang bilangan kes Covid-19 di dalam negara, MOH menggunakan anggaran bilangan jangkitan, dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Ini termasuk bilangan kehadiran jangkitan pernafasan akut di poliklinik, perkadaran sampel jangkitan pernafasan akut daripada poliklinik yang didapati positif Covid-19 bagi setiap minggu epidemiologi, dan bahagian kes jangkitan pernafasan akut kebangsaan yang dikesan di poliklinik.

-BTS Media

Leave a Comment