KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dilaporkan telah menghantar surat peletakan bagi jawatan itu berkuat kuasa pada 15 Disember ini.
Bagaimanapun menurut sumber, surat berkenaan belum dilihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini masih berada di luar negara.
Mohammad Agus juga difahamkan sedang menghabiskan cuti sehingga tamat tempoh perkhidmatan mengikut tarikh tersebut.
Sebelum ini, jabatan itu dipertikaikan kerana gagal memainkan peranan dalam melaksanakan tugas dengan berkesan terutamanya berkaitan insentif kerajaan kepada rakyat.
Ini kerana, banyak manfaat dan insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat tetapi mereka tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya.
Justeru, ada pihak yang berpendapat supaya pengarah J-KOM ditukarkan atau terus membubarkan jabatan tersebut.
Dalam pada itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas Muhammad Agus berhubung perkara tersebut.