Oleh Zainal AS Rashid
FIRMA guaman yang mewakili Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rosli Dahlan Saravana Partnership, tegas dengan pendirian bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mendapat akses kepada mana-mana dokumen pelanggan dalam serbuan semalam.
Dalam satu kenyataan, firma itu berkata mereka tetap komited untuk melindungi hak undang-undang dan kepentingan semua pelanggan mereka, lapor NST.
“Pada hari Jumaat, 6 Okt, 12 pegawai SPRM datang ke pejabat kami dan menuntut untuk menggeledah premis pejabat kami dan merampas dokumen.
Firma itu berkata, mereka telah memaklumkan kepada pegawai SPRM perkara tersebut, dan menegaskan bahawa dokumen pelanggan yang tersimpan di firma undang-undang dilindungi undang-undang dan tidak boleh dirampas oleh SPRM atas sebab Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Mereka merujuk kepada Seksyen 46 yang menggariskan kedudukan istimewa dokumen pelanggan, dan oleh itu pegawai SPRM tidak mempunyai akses kepada mana-mana dokumen berkenaan.
Ia menambah bahawa firma itu komited untuk mencegah sebarang bentuk penyalahgunaan, eksploitasi atau paksaan oleh mana-mana pihak berkuasa semasa bertindak untuk pelanggan mereka.
“Rakyat mempunyai hak untuk perwakilan undang-undang dan prinsip universal ini tidak boleh diabaikan. Peguam adalah bahagian penting pentadbiran keadilan dalam masyarakat negara demokrasi.
“Peguam dan agensi penguatkuasa undang-undang bertanggungjawab untuk menghormati dan menegakkan undang-undang.
“Kami tetap komited dengan prinsip ini, dan kami akan terus melindungi hak undang-undang dan kepentingan semua pelanggan kami – tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.
Sementara itu, satu sumber dipetik oleh NST semalam bahawa ia bukan serbuan tetapi ‘lawatan susulan’ untuk siasatan yang sedang dijalankan.
Laporan juga menyatakan Rosli Dahlan, rakan kongsi di RDS, berkhidmat sebagai peguam utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Muhyiddin.
Dilaporkan juga bahawa RDS sedang mengendalikan saman fitnah Muhyddin terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
-BTS Media