BTS Media

G25 syor sebahagian pendidikan agama jadi kurikulum selepas sekolah

KUMPULAN bekas penjawat awam kanan (G25) menyeru kajian komprehensif dijalankan ke atas kurikulum sekolah dan masa diperuntukkan bagi subjek teras.

Dalam satu kenyataan kumpulan itu mengesyorkan sebahagian pendidikan agama dijadikan kurikulum selepas sekolah agar lebih banyak masa diperuntukkan untuk sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik atau STEM (science, technology, engineering, and mathematics).

“Adalah amat penting sekolah agama mengikut sistem pendidikan kebangsaan bagi memastikan pelajar yang hanya bersekolah di sekolah agama negeri didedahkan kepada kurikulum pendidikan kebangsaan yang seimbang,” kata kumpulan itu.

G25 berkata, purata masa diperuntukkan untuk pendidikan agama bagi murid sekolah rendah ialah tujuh jam setengah seminggu, berbanding lima jam seminggu bagi matematik dan enam jam seminggu bagi sains.

Kumpulan itu turut menarik perhatian kepada kualiti pendidikan di sekolah serata negara dan menekankan betapa pentingnya guru diberi sokongan agar mereka boleh mencipta persekitaran pembelajaran yang positif bagi pelajar.

G25 menambah sekolah agama bawah kerajaan negeri harus tertakluk kepada Akta Pendidikan, yang menetapkan sekolah harus mengikut kurikulum pendidikan kebangsaan dan dipantau oleh Kementerian Pendidikan.

G25 mengesyorkan Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan agama bawah majlis agama Islam negeri.

Kumpulan itu juga mencadangkan agar subjek Perlembagaan Persekutuan diajar di peringkat sekolah rendah, selain Rukun Negara kerana ia saling melengkapi.

“Langkah ini supaya murid didedahkan kepada nilai-nilai kemanusiaan sejak awal usia, seperti kesamarataan di sisi undang-undang, kebebasan diri, kebebasan berhimpun, dan sebagainya,” kata G25.

-BTS Media

Leave a Comment