GAMBAR ATAS: 1 Sept 1978: Tunku Abdul Rahman (tengah) menunjukkan buku terbaharunya ‘Viewpoints’ kepada Leon Comber (kanan), yang ketika itu merupakan pengarah urusan Heinemann Educational Books (Asia) Ltd di Hotel Hilton di Kuala Lumpur pada 1978. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, ang ketika itu Raja Muda Selangor, di sebelah kiri.
Oleh Zainal AS Rashid
BEKAS pegawai Special Branch (Cawangan Khas) zaman darurat sewaktu Malaya di bawah British, Leonard Francis Comber, meninggal dunia di Melbourne pada 11 Mei pada usia 101 tahun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarganya, Comber antara lain pernah menyertai gerakan gerila menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua, dan merupakan sebahagian daripada Pentadbiran Tentera British yang menduduki semula Tanah Melayu apabila Jepun menyerah kalah, lapor NST.
Comber, yang merupakan antara penyokong kemerdekaan bersama Ketua Menteri pertama Singapura David Marshall, juga terlibat usaha memerangi pengganas Komunis di Tanah Melayu semasa Darurat pertama, dan kemudian menjadi penerbit buku dan ahli akademik di Hong Kong, Malaysia, Singapura dan Australia.
Beliau banyak dikaitkan dengan Malaysia dan Singapura, di mana pelantikan terakhirnya ialah sebagai felo pelawat kanan di ISEAS-Yusof Ishak, Singapura.
Keluarganya berkata, Comber yang dilahirkan di London juga telah menerbitkan beberapa buku mengenai perisikan dan operasi rahsia.
Antara karyanya, termasuk “Malaya’s Secret Police 1945-1960: The Role of the Special Branch in the Malayan Emergency” (Polis Rahsia Malaya 1945-1960: Peranan Cawangan Khas semasa Darurat Malaya) yang berdasarkan tesis PhDnya pada usia 84 tahun.
Comber juga terkenal kerana perkahwinannya dengan penulis novel antarabangsa dan doktor perubatan, Han Suyin (nama sebenar, Matilda Kuanghu Chou).
Filem Hollywood yang memenangi Oscar, “Love is a Many Splendoured Thing” adalah filem berdasarkan novel Han Suyin, “A Many-Splendoured Thing” dan novel berlatar-belakangkan darurat Malaya, “And the Rain My Drink”.
Mereka bercerai pada tahun 1958, dan Comber kemudian berkahwin semula.
Comber juga kawan rapat perdana menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman.
“Beliau pernah melantik perdana menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman sebagai pengarah bersekutu di syarikat penerbitan Heinemann Asia Sdn Bhd bersama Tan Sri Profesor Hamzah Sendut, yang ketika itu naib canselor Universiti Sains Pulau Pinang. Tunku dianggap sebagai bapa angkat kepada anak perempuan Leon,” kata kenyataan keluarganya.
Comber fasih berbahasa Urdu, Hindi, Kantonis, Mandarin dan Melayu.
Beliau meninggalkan isteri Takako Kawaii dan anak perempuan Dr Lois Akii Comber, yang merupakan seorang pakar perubatan nuklear.
-BTS Media