Oleh Zainal AS Rashid
BEKAS menteri Reezal Merican Naina Merican dilantik sebagai pengerusi kesembilan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkuat kuasa serta-merta.
Beliau tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk kerusi parlimen kepala Batas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Dr Siti Mastura Muhammad yang memperoleh majoriti sebanyak 2,867.
Reezal Merican yang dikatakan mempunyai rekod prestasi luas dalam perkhidmatan kerajaan, pernah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2021-2022), Menteri Belia dan Sukan (2020-2021), dan Timbalan Menteri Luar (2015-2018). Selain itu, beliau mempengerusikan Amanah Raya Bhd dari 2013 hingga 2015, lapor Bernama.
Menurut Matrade, berdasarkan pengalaman beliau dalam hal ehwal antarabangsa, diplomasi, pentadbiran kerajaan dan perhubungan industri, beliau sesuai untuk memimpin dan membimbing agenda promosi perdagangan nasional Malaysia dan memudahkan pelaburan berorientasikan eksport ke dalam negara.
Matrade merupakan sebuah agensi di bawah MITI yang berfungsi untuk melaksanakan inisiatif promosi perdagangan negara.
Ditubuhkan pada 1993 selepas penggubalan Akta Matrade 1992, Matrade melaksanakan dua aktiviti teras: Pembangunan pengeksport dan promosi eksport.
Pada masa ini, ia mempunyai enam pejabat serantau di Malaysia dan 46 pejabat global yang sentiasa bersedia untuk membantu syarikat Malaysia melalui program pembinaan kapasiti pengeksport, nasihat perdagangan dan kemudahan kewangan, pemadanan perniagaan, risikan pasaran dan akses pasaran, rundingan projek dan e-dagang.
-BTS Media