Oleh Yusoff A. Shariff
BARU-BARU ini tersebar beberapa gambar yang memaparkan seorang pekerja kedai 7-eleven menggunakan mop lantai untuk membersihkan microwave oven yang diguna untuk memanaskan makanan.
Setelah tular di media sosial dengan mengumpulkan lebih 2.2 juta tontonan dan kongsi semula sebanyak 14, 300 kali, pihak pengurusan telah memaklumkan penggantungan kerja petugas berkenaan.
Menurut MSN, individu tersebut bekerja di 7-Eleven di Kampung Attap, Kuala Lumpur.
Seorang pengguna Twitter turut mengenal pasti individu sebagai bekas pekerja di sebuah stesen MRT, di mana dia didakwa menggunakan mop lantai untuk membersihkan bangku duduk.
Susulan itu, MRT Corp telah memohon maaf di atas perkara tersebut dan dilapor sedang mengenal pasti stesen mana dia bekerja.
Isnin lepas, 7-Eleven mengeluarkan kenyataan rasmi memohon maaf atas tindakan pekerja itu, dan juga telah mengemas kini tindakan yang diambil sebagai respons terhadap insiden tersebut melalui tweet yang disiarkan pada Selasa.
Pihak 7-eleven juga telah menukar microwave oven yang ‘tercemar’, manakala seluruh kedai menjalani  pembersihan dan sanitasi menyeluruh.
7-Eleven Malaysia memberi jaminan bahawa langkah lebih ketat akan dilaksanakan dan akan memastikan semua pekerja mereka mematuhi protokol kebersihan.
-BTS Media