Oleh Zainal AS Rashid
KEADAAN tandas awam mencerminkan tahap tadbir urus institusi terbabit, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata, memandangkan kebersihan mencerminkan budaya, maka keadaan tandas di negara ini menimbulkan banyak persoalan, dan itulah sebab ia sangat penting,” kata Loke pada pelancaran kempen insentif oleh WCT Malls – pemilik gateway@klia2 – untuk pelajar yang menggunakan KLIA2 mulai semalam (Khamis, 12 Jan) sehingga 30 April.
Memetik sebuah buku tentang kepimpinan baru-baru ini yang ditulis oleh bekas setiausaha negara Amerika Syarikat Henry Kissinger, Loke berkata bekas perdana menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, disifatkan sebagai seorang yang mengambil berat tentang keadaan tandas awam, terutama di Lapangan Terbang Changi.
Beliau berkata, buku tersebut menceritakan bagaimana Lee mentransformasikan lapangan terbang itu kepada status membanggakan hari ini, lapor The Star.
Lee lebih mengutamakan laporan mingguan keadaan tandas, dan bukan bilangan penumpang yang menggunakan lapangan terbang itu, kata Loke.
Etos tersebut menunjukkan bahawa jika tandas pun tidak dapat diuruskan dengan baik, apa tah lagi mengurus lapangan terbang.
Loke, yang mengadakan lawatan rasmi ke Singapura tiga hari lalu, telah bertemu dengan bekas menteri pengangkutan republik itu Khaw Boon Wan, yang memberitahunya perkara yang sama.
“Beliau memberitahu saya perkara yang sama apabila kami berbincang tentang sistem pengangkutan awam. Apabila beliau ditugaskan untuk memperbaiki sistem MRT Singapura, yang mengalami kerosakan besar pada 2011, beliau mencari beberapa petunjuk mengenai budaya penyelenggaraan dengan melihat keadaan tandas di depoh.
“Apabila beliau membuat pemeriksaan ke depoh penyelenggaraan tren, beliau memeriksa tandas sebagai salah satu perkara utama dalam senarai aspek yang perlu diperiksa. Jika tandas berada dalam keadaan kotor, maka ia mencerminkan prestasi pihak yang bertanggungjawab.
Jika tandas pun tidak dapat diuruskan dengan baik, bagaimana hendak mengurus dan menyelenggarakan tren yang membawa berjuta-juta penumpang setiap hari?” kata Loke, sambil menujukan mesejnya kepada pihak Malaysia Airports Holdings Bhd mengenai keperluan untuk memastikan tandas lapangan terbang berada dalam keadaan sempurna, kerana ia akan membentuk tanggapan awal orang asing.
“Sudah tentu lapangan terbang mesti mempunyai suasana ceria dan bertenaga, kerana ia akan mewujudkan mood dan suasana yang betul.
Sehubungan itu, Loke berkata cabaran paling penting ialah pemulihan sektor perkhidmatan.”
Beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan semua inisiatif, termasuk daripada sektor swasta untuk menggiatkan semula sektor peruncitan, pelancongan dan pengembaraan.
-BTS Media