BTS Media

Charles jadi raja, kakitangan kediamannya akan diberhentikan

GAMBAR ATAS: New Zealand Defence Force from Wellington, New Zealand, CC BY 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/2.0>, via Wikimedia Commons

 

Oleh Zainal AS Rashid

KAKITANGAN yang berkhidmat dengan Raja Charles semasa beliau menjadi pewaris takhta British diberitahu bahawa mereka mungkin diberhentikan.

Pengumuman itu mendapat kritikan daripada kesatuan buruh yang menyifatkannya sebagai “tidak berhati perut” kerana ibu Charles, Elizabeth II belum pun dikebumikan.

Charles, yang mewarisi takhta selepas kematian ibunya pada Khamis lalu, akan berpindah bersama isterinya, Camilla dari Clarence House, rumahnya di London selama beberapa dekad, ke kediaman rasmi Istana Buckingham, lapor akhbar The Guardian.

Jurucakap Clarence House berkata operasi di kediaman itu telah dihentikan dan proses perundingan dengan kakitangan mengenai pemberhentian kerja telah dimulakan.

Beliau berkata kakitangan Clarence House setia berkhidmat begitu lama, dan kini tindakan pemberhentian tidak dapat dielakkan, tetapi usaha sedang dilakukan untuk menempatkan seramai yang mungkin ke jawatan lain.

Dilaporkan bahawa sekurang-kurangnya 100 pekerja telah diberitahu bahawa mereka mungkin diberhentikan, walaupun telah bekerja di sana berpuluh tahun.

Mereka termasuk pembantu peribadi, pengiring, pengendali pakaian, tukang masak dan kakitangan perkeranian.

-BTS Media

Leave a Comment