GAMBAR ATAS: Dan Marsh, CC BY-SA 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0>, via Wikimedia Commons
RAJA Charles secara rasmi diisytiharkan sebagai pengganti ibunya, Elizabeth II hari ini pada satu majlis di Istana St James, London di mana bekas perdana menteri, para uskup dan sebilangan ahli politik melaungkan “God Save The King”.
Kemangkatan Ratu Elizabeth II yang berusia 96 tahun pada Khamis selepas bertakhta selama 70 tahun telah menggerakkan rentetan rancangan seterusnya untuk negara itu berkabung, dan upacara pengebumian kira-kira seminggu daripada sekarang.
Walaupun Charles, 73, dilantik segera mengikut tradisi bagi menggantikan ibunya pada Khamis, namun Majlis Pelantikan Raja (Accession Council) hanya mengadakan mesyuarat pada Sabtu untuk membuat pengisytiharan yang antaranya, ditandatangani oleh anaknya, iaitu pewaris takhta, William, isterinya Camilla dan perdana menteri baharu Britain, Liz Truss.
Melalui satu pengisytiharan peribadi, Charles berkata beliau mendedikasikan sisa hidupnya dalam menjalankan tugas berat yang dipikul sekarang, dan berdoa diberikan petunjuk oleh tuhan.
Pengisytiharan itu juga ditetapkan untuk dibaca secara terbuka di semua bandar raya utama United Kingdom, iaitu Edinburgh di Scotland, Belfast di Ireland Utara, Cardiff di Wales dan juga di lokasi lain.
Dengan ini, Charles akan menjadi raja dan ketua negara United Kingdom dan 14 negara, termasuk Australia, Kanada, Jamaica, New Zealand dan Papua New Guinea.
Britain telah mengisytiharkan tempoh berkabung sehingga pengebumian negara untuk Elizabeth II, yang pernah digambarkan oleh cucunya Harry sebagai “nenek negara”.
Beberapa pemimpin dari beberapa negara dijangka berada di London untuk upacara pengebumian, termasuk presiden Amerika Syarikat Joe Biden, yang berkata pada Jumaat bahawa beliau akan menghadirinya.
Istiadat pertabalan Charles sebagai raja akan berlangsung kemudian, seperti mana terdapat jurang 16 bulan antara Elizabeth II menjadi ratu pada 1952 dan pertabalannya pada 1953.
Raja Charles II berikrar dalam ucapan pertamanya kepada negara pada Jumaat untuk berkhidmat kepada negara dengan “kesetiaan, rasa hormat dan kasih sayang”.
-BTS Media