GAMBAR ATAS: BeReal.
Oleh Fetty Rara
SEMAKIN ramai pengguna beralih ke aplikasi baharu, BeReal, yang memaparkan foto sebenar tanpa algoritma memanipulasi gambar selfie bagi memaparkan semua wajah serba cantik.
Apabila diaktifkan, aplikasi BeReal akan meminta pengguna mengambil ‘selfie’ ketika apa sahaja yang mereka sedang lakukan dalam tempoh dua minit.
App tersebut menggunakan kedua-dua kamera hadapan dan belakang untuk menghasilkan ‘selfie’ pengguna dalam konteks sebenar.
BeReal tidak dilengkapkan dengan ciri-ciri ‘filter’ dan ‘effects’ mahu pun ‘make-up’ digital untuk kononnya mencantikkan lagi gambar selfie pengguna.
Menurut profesor Jennifer Tromer-Galley dari Fakulti Kajian Maklumat Syracuse University di Amerika Syarikat, tujuan BeReal ialah untuk memaparkan wajah seseorang dalam masa sebenar (real time).
Hakikatnya, yang perlu dipaparkan ialah “secebis kehidupan kita, dan bukan secebis terbaik kehidupan.”
Dilancarkan dua tahun lalu oleh seorang usahawan teknologi Perancis, BeReal semakin menarik minat di serata dunia.
Menurut syarikat pemantau data.ai, di AS, ia merupakan aplikasi paling banyak dimuat turun sejak awal September, dan dikira antara aplikasi ketiga paling popular di Britain dan Perancis.
Idea asas BeReal, menurut penciptanya Alexis Barreyat, tercetus ketika dia menyertai acara berbasikal di pergunungan. Dia tiba-tiba menyedari bagaimana lumrahnya pengguna media sosial lebih mementingkan paparan “sempurna” gambar diri mereka dan bukannya apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Tabiat sebegitu dikatakan telah meningkatkan kadar masalah mental dalam kalangan pengguna yang tidak mampu menyempurnakan imej diri.
Justeru, populariti BeReal ialah kerana orang ramai mula bosan dengan gambar-gambar tanpa cacat cela yang tidak mencerminkan kehidupan sebenar.
Manteranya: “Sudah bosan dengan kepalsuan, kerana kehidupan ini bukannya sempurna.”
BeReal boleh dimuat turun melalui muat turun terus dari https://bere.al/en atau Google Play.
-BTS Media