GAMBAR ATAS: Or Vandine/ Phnom Penh Post.
SEORANG pegawai kesihatan tertinggi Kemboja meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan melindungi diri mereka daripada penularan Covid-19, kerana satu lagi sub-varian Omicron – dikenali sebagai BA2.75 – telah dikesan di Thailand.
Setiausaha negara dan jurucakap Kementerian Kesihatan Or Vandine, berkata walaupun telah dikesan di negara jiran, namun ia masih belum berlaku di Kemboja, lapor Phnom Penh Post.
Ia adalah jenis baharu sub-varian BA.2, tetapi masih Covid-19 dan mengikut analisis awal, sub-varian ini lebih agresif dan mudah berjangkit berbanding varian sebelumnya.
Vandine berkata ada kemungkinan varian ini sedang menular, dan pihak berkuasa belum dapat memastikan sejauh mana. Apa pun, beliau menggesa penduduk Kemboja supaya terus berwaspada dan mendapatkan dos vaksin terkini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), walaupun kebanyakan individu pulih sepenuhnya daripada Covid-19, bukti menunjukkan bahawa antara 10 dan 20 peratus daripada mereka akan mengalami kesan sampingan berpanjangan.
Menurut Vandine, WHO baru-baru ini mengumumkan terdapat lebih sejuta individu di seluruh dunia yang telah pulih daripada Covid-19 tetapi mengalami masalah kesihatan, dan kesan jangka panjang masih belum diketahui selama mana.
Apa yang diketahui setakat ini, kesan jangka panjang didapati berbeza daripada seorang ke seorang. Ia termasuk sakit kepala, payah tidur, keletihan, antara lain.
Selain itu, beliau berkata banyak juga kes di mana masalah mental dikesan.
-BTS Media