BTS Media

AGC diminta percepat pendakwaan terhadap tiga eksekutif Mara Corp

 

Oleh Zainal AS Rashid

Seorang ahli parlimen menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menyegerakan pendakwaan terhadap tiga pegawai kanan Mara Corporation Sdn Bhd yang disyaki terbabit dalam kes salah urus dan salah guna kuasa.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, ahli parlimen Papar Ahmad Hassan mempersoalkan kenapa ini berlaku, dan mengapa masih belum ada pihak yang didakwa walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan kertas siasatan dan bukti kepada AGC pada April.

Beliau berkata perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia melibatkan kepentingan Bumiputera, dana awam, dan yang paling pelik ialah sehingga hari ini pegawai terbabit masih belum digantung tugas.

Ahmad, yang juga ahli majlis tertinggi parti Warisan, berkata kerajaan perlu telus dalam menangani isu integriti dan salah guna kuasa, terutama apabila melibatkan agensi kerajaan seperti Mara, yang berada di bawah kementerian pembangunan luar bandar.

Sementara itu, bercakap kepada media di Putrajaya pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan laporan berita bahawa AGC akan menggugurkan pertuduhan terhadap pegawai Mara berkenaan kerana bukti tidak mencukupi.

Beliau berkata terdapat “bukti yang mencukupi” untuk mendakwa pegawai – pegawai terbabit dengan rasuah, sambil menambah bahawa SPRM telah mengemukakan kertas siasatan kepada AGC, dan mencadangkan agar beberapa pihak dikenakan pertuduhan.

Pada Februari lepas, dilaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan salah urus yang melibatkan elaun untuk beberapa eksekutif Mara Investment Arm Mara Corp.

SPRM juga telah membuat serbuan ke beberapa pejabat Mara untuk mengumpul dokumen berkaitan dengan kes itu.

-BTS Media

Leave a Comment