BTS Media

Ladang ayam berhenti operasi disiasat

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah menghantar pegawainya ke ladang yang menghentikan operasi ternakan ayam bagi menjalankan siasatan lanjut.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya tidak semata-mata menerima alasan menerusi surat yang dihantar pihak peladang mengenai keperluan menutup operasi selama dua hari, sebaliknya sudah mengarahkan pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan terperinci ke atas ladang berkenaan.

Beliau berkata, pihak ladang dalam surat yang dihantar kepada KPDNHEP ada memberitahu mengenai penyakit dan berat ayam tidak mencapai tahap yang dikehendaki pasaran iaitu 1.8 Kilogram (kg) ke atas selain faktor tenaga kerja.

“Kita tidak mahu peladang memanipulasi bekalan ayam dalam pasaran dan sekiranya terdapat unsur terbabit kita (kerajaan) akan mengambil tindakan tegas mengikut perundangan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Apabila timbul isu ini kita akan membuat pemeriksaan ke seluruh ladang ayam dan bukannya hanya tertumpu kepada satu atau dua ladang saja,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pasar raya Xiri Kuala Berang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan kebenaran isu yang diutarakan penternak ayam termasuk berkaitan penyakit hingga menyebabkan ayam tidak mencapai berat yang dikehendaki dan faktor kekurangan pekerja di ladang.

Beliau berkata, kementerian sentiasa proaktif dalam menjaga kepentingan pengguna dan peniaga termasuk dalam isu kestabilan bekalan dan harga ayam di pasaran.

Rosol berkata, pihaknya tidak menolak sesetengah kawasan kini mengalami masalah kekurangan bekalan ayam dan langkah jangka pendek sudah diambil dengan membawa bekalan dari kawasan yang mempunyai bekalan ayam berlebihan untuk menampung keperluan di lokaliti yang berdepan kekurangan bekalan ayam.

“Contoh jika di Perlis, mempunyai lebihan ayam maka ia boleh dibawa ke negeri berdekatan seperti Pulau Pinang yang mengalami kekurangan bekalan ayam.

“Berdasarkan unjuran kita, pengeluaran ayam untuk satu pusingan ialah sekitar 66 juta metrik tan, namun penggunaannya hanya sekitar 60 juta metrik tan. Ini bermakna kita masih mempunyai lebihan enam juta metrik tan,” katanya.

Rosol berkata, kerajaan melalui KPDNHEP menasihati penternak dan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenangnya dan sekiranya ia berlaku kerajaan akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan 2011.

Sementara itu, mengulas mengenai PJKM Rosol berkata, jumlah jualan PJKM sudah mencecah RM54.5 juta dengan pengunjung melebih 2.7 juta orang, sejak diperkenalkan hingga ke hari ini.

“PJKM juga sudah diadakan di 1,702 lokasi di seluruh negara dengan kerjasama 240 rakan strategik yang sama-sama membantu dalam menjayakan program berkenaan yang dijangka tamat Jun nanti.

“Dengan adanya program seperti ini ia setidaknya dapat membantu penduduk setempat untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah daripada kebiasaannya,” katanya.

Leave a Comment