BTS Media

Anggota Senario kembali bersatu dalam Jaga-Jaga Senariounion

Filem Jaga-Jaga Senariounion menghimpunkan semula anggota kumpulan Senario.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

Rindu nak lihat gelagat anggota kumpulan Senario beraksi? Jangan bimbang, selepas lebih sedekad, kini anggota Senario kembali berkumpul seperti di awal kemunculan mereka.

Anggota kumpulan Senario yang terdiri daripada Azlee Jaafar, Saiful Apek, Abdul Wahid, Yassin Yahya, Hamdan Ramli dan Illya Buang, kecuali Lan Pet-Pet kembali bersatu dalam filem Jaga-Jaga Senariounion.

Filem Jaga-Jaga Senariounion arahan Aziz M.Osman yang  mengetengahkan genre komedi itu, bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 21 April ini.

Filem terbitan Botak Production Management Sdn. Bhd., itu memperlihatkan komedi dan lawak yang segar oleh kumpulan otai ini, namun masih mengekalkan identiti Senario.

Malah menerusi filem ini, Aziz turut mengembalikan wajah-wajah yang pernah mewarnai filem-filem Senario terdahulu, seperti Syanie Hisham, Mas Said, Badrolshah, Bobby Kiran serta pelakon baharu, Amm Raja Lawak dan Nur Farisha Amira.

Aziz M.Osman menjanjikan elemen ‘wow’ dan komedi terkini menerusi Jaga-Jaga Senariounion.

Aziz yang juga penerbit Jaga-Jaga Senariounion berkata, menerusi filem-filem Senario, kredibilitinya sebagai pengarah turut diperkukuhkan.

“Senario sudah menjadi sebahagian dalam karier dan hidup saya. Saya percaya ramai yang membesar dengan komedi dan sitkom lakonan Senario dan pasti ada yang merinduinya.

“Apabila ramai yang bertanyakan dan meminta kemunculan semula kumpulan ini dengan kehadiran semua ahli, jadi saya dan pihak penerbit tidak teragak-agak untuk merancang menghasilkan filem Senario.

“Jadi Jaga-Jaga Senariounion adalah buah tangan terbaharu daripada Senario buat peminatnya. Bagi sudut pengarahan pula, tidak banyak cabaran besar yang dilalui, tetapi apa yang istimewanya ketika di set, semuanya rasa seperti dahulu kala.

Kemunculan semula anggota Senario diharap dapat menghiburkan peminat mereka.

“Buat penonton daripada generasi baharu, saksikan filem ini dan kenali kumpulan pelawak legend yang pernah menggamatkan suasana satu ketika dahulu. Saya menjanjikan elemen ‘wow’ dan komedi yang terkini menerusi Jaga-Jaga Senariounion,” jelasnya.

Filem yang menjalani penggambaran pada 13 Disember hingga 23 Disember 2021 itu memilih kawasan di sekitar Mantin, Negeri Sembilan sebagai lokasi.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro amat dikenali dengan program-program mencungkil dan mengetengahkan bakat pelawak-pelawak di Malaysia, dan selaras dengan itu mereka amat berbesar hati dapat membawakan sebuah filem yang mengangkat kumpulan pelawak otai tanah air di platform Astro First.

Jaga-Jaga Senariounion menjalani penggambaran di Mantin, Negeri Sembilan.

“Lebih menarik, filem ini merupakan kemunculan semula mereka setelah lebih sebelas tahun dan tambah istimewa buat pertama kali menghimpunkan hampir kesemua ahlinya.

“Kami percaya kehadiran Jaga-Jaga Senariounion mampu mengembalikan nostalgia tersendiri dalam kalangan peminat dan para penontonnya. Jadi kami harap para penonton dapat berhibur dan bergelak ketawa dengan filem komedi ini bersama insan tersayang mahupun sahabat handai,” kata Raja Jastina.

Filem Jaga-Jaga Senariounion mengangkat subjek yang sangat dekat dengan masyarakat iaitu kenduri kahwin.

Kisahnya bermula pada hari majlis pernikahan anak Datuk Hamdan dan Azlee, di mana keluarga Datuk Hamdan telah disamun ketika dalam perjalanan ke rumah bakal besannya.

Jaga-Jaga Senariounion mengangkat subjek yang sangat dekat dengan masyarakat iaitu kenduri kahwin.

Apa yang peliknya, perompak-perompak tersebut hanya merompak barang-barang hantaran sahaja.

Akhirnya rombongan Datuk Hamdan tiba di rumah pengantin perempuan dengan tangan kosong. Ibu pengantin perempuan, Syanie curiga dengan insiden tersebut dan bertegas untuk membatalkan acara akad nikah.

Ketegangan berlaku dan muncul Saiful, seorang penyiasat insurans mengesyaki ada unsur sabotaj di sebalik tragedi ini. Dia menghimpunkan kesemua mereka yang berkenaan.

Jaga-Jaga Senariounion boleh ditonton di saluran Astro First (480) mulai 21 April ini.

Dengan kebijaksanaan, Saiful menyoal siasat kesemua mereka untuk mencari dalang yang sebenar. Siapakah yang merancang mencuri dulang hantaran dan kenapa?

Setibanya di rumah pengantin, setiap seorang daripada mereka tidak kira keluarga pengantin lelaki atau pengantin perempuan telah disyaki merancang untuk sabotaj majlis tersebut. Semuanya menjadi teka-teki.

Untuk mengetahui kesudahan cerita ini, anda boleh langgan ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

-BTSMedia

Leave a Comment