BTS Media

Pencemaran Sungai Sitiawan disiasat, sampel kilang diambil

JABATAN Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel efluen industri dari sebuah kilang pembuatan selepas penemuan ikan dan ketam mati di Sungai Sitiawan mencetuskan siasatan berhubung kemungkinan pencemaran sungai itu.

Sampel diambil di titik pelepasan akhir premis berkenaan bagi membolehkan perbandingan dibuat dengan sampel air sungai yang turut dikumpulkan JAS untuk analisis lanjut.

Menurut JAS, pasukan penyiasat yang menjalankan pemeriksaan di kilang terbabit turut mengesan kerosakan pada injap blower di Loji Rawatan Kumbahan (STP) premis berkenaan.

Bagaimanapun, sampel efluen kumbahan tidak dapat diambil ketika pemeriksaan kerana kadar alirannya terlalu rendah, iaitu hanya 0.583 meter padu sejam.

Siasatan itu dijalankan selepas JAS menerima maklumat pada pukul 9.57 pagi, 30 Ogos lalu berhubung penemuan ikan mati di Sungai Sitiawan.

Pemeriksaan kemudiannya dilakukan di tiga lokasi iaitu Jeti Wak Dol, penginapan D’ Chalet dan Tanjung Uda River Resort.

JAS berkata pemeriksaan di lokasi aduan mendapati sejumlah ekor ikan serta hidupan akuatik lain mati dan terapung di permukaan sungai.

Di Jeti Wak Dol, pasukan penguat kuasa menemui ikan bersaiz kecil, manakala ikan yang lebih besar ditemui mati di kawasan D’ Chalet.

Selain pemeriksaan fizikal, JAS turut menjalankan ujian setempat serta mengambil sampel air dari ketiga-tiga lokasi untuk dianalisis Jabatan Kimia Malaysia.

Keputusan ujian tersebut menunjukkan bacaan oksigen terlarut masing-masing 5.86 miligram seliter di Jeti Wak Dol, 3.79 miligram seliter di D’ Chalet dan 1.59 miligram seliter di Tanjung Uda River Resort.

JAS berkata tindakan lanjut akan ditentukan selepas keputusan analisis sampel air sungai dan efluen industri diperoleh daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Menurut jabatan itu, tindakan undang-undang boleh diambil bergantung kepada hasil analisis berkenaan.

Pada masa sama, JAS akan meneruskan pemantauan di kawasan terbabit serta menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan terhadap premis berhampiran yang berpotensi menjadi punca pencemaran Sungai Sitiawan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment