BTS Media

Bekas menteri dibawa ke mahkamah, siasatan RCI Tabung Haji memasuki fasa baharu

SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) memasuki perkembangan baharu apabila seorang bekas menteri dibawa ke Mahkamah Majistret di Outrajaya hari ini.

Lelaki berusia lingkungan 60-an itu tiba pada kira-kira pukul 10.26 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga sebelum dibawa masuk ke bangunan mahkamah dengan kawalan pegawai SPRM.

Suspek dipercayai akan menghadapi permohonan reman bagi membantu siasatan berkaitan isu penyewaan hotel di Arab Saudi.

Beliau ditahan kira-kira pukul 4.30 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM berhubung perkara berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan kesalahan meminta atau menerima suapan sebagai dorongan atau ganjaran.

Jika disabitkan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, berdasarkan Seksyen 24 akta sama.

Penahanan bekas menteri itu menyusul beberapa tindakan terhadap bekas pegawai kanan TH dan tokoh korporat sejak SPRM membuka siasatan susulan laporan RCI berkenaan.

Pada 27 Ogos lalu, bekas pengerusi TH dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan perkara yang dibangkitkan dalam laporan itu. Kedua-duanya dibebaskan semalam selepas SPRM selesai merakam keterangan mereka.

Seorang bekas ketua pegawai eksekutif TH turut pernah direman sebelum ini, manakala tujuh individu lain, termasuk empat bekas anggota pengurusan kanan TH dan tiga tokoh korporat, ditahan dalam siasatan berasingan.

Laporan RCI berkenaan disiapkan pada tahun 2022 selepas meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh tahun 2014 hingga 2020. Laporan itu kemudiannya dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu, empat tahun selepas suruhanjaya berkenaan menyelesaikan tugasnya.

Antara dapatan yang mencetuskan perhatian ialah kelemahan serius dalam tadbir urus, pengurusan kewangan serta keputusan pelaburan TH.

RCI mendapati TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan ketika itu. Laporan sama turut mendapati pembayaran hibah dibuat antara tahun 2014 hingga 2017 walaupun liabiliti TH melebihi aset.

Selain itu, laporan berkenaan membangkitkan isu pelaburan berisiko, pemberian bonus berlebihan, konflik kepentingan serta kelemahan dalam tindakan tatatertib terhadap pegawai kanan.

RCI mengemukakan 25 cadangan utama, termasuk rombakan besar-besaran terhadap tadbir urus TH, pengetatan kriteria pelantikan ahli lembaga, larangan ahli politik aktif menganggotai lembaga, audit forensik terhadap pelaburan yang diragui serta pemisahan tanggungjawab urusan haji daripada pengurusan kewangan.

SPRM sebelum ini turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan penggunaan khidmat pakar forensik luar bagi membantu meneliti dokumen dan bahan bukti berkaitan siasatan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment