PENGORBANAN anggota pasukan keselamatan ketika berdepan ancaman komunis tidak boleh dilupakan kerana keamanan yang dikecapi hari ini dibayar dengan harga yang amat mahal, kata bekas anggota Cawangan Khas, Datuk Paul Kiong.
Menurut beliau, generasi akan datang perlu memahami nilai keamanan dan perpaduan negara agar sejarah berdarah itu tidak berulang. Justeru, beliau berharap kisah yang dirakamkan dalam bukunya, The Communist Role I Played: Undercover During The 2nd Malayan Emergency (1968-1989), dapat menjadi peringatan kepada rakyat mengenai pengorbanan pasukan keselamatan.
The Star melaporkan, Kiong yang kini berusia 82 tahun akan melancarkan buku berkenaan Ahad ini, yang menghimpunkan pengalaman beliau menyusup masuk ke dalam rangkaian komunis sepanjang tempoh Darurat Kedua (1968-1989).
Kiong berkata, tujuan utama penulisan buku itu bukan untuk mengangkat jasa peribadinya, sebaliknya bagi memastikan pengorbanan anggota polis, tentera dan keluarga mereka terus dikenang.
Beliau mendedahkan pernah menjalani kehidupan dengan dua identiti selama enam tahun ketika menyamar dalam kalangan anggota komunis bagi mengumpul risikan yang akhirnya membantu melumpuhkan kira-kira 50 anggota komunis.
Mengimbau kerjayanya, Kiong berkata beliau menyertai Polis Diraja Malaysia sebagai konstabel pada 1964 sebelum berkhidmat di Singapura selama tiga tahun. Pada 1967, beliau ditempatkan di Cawangan Khas di Johor untuk membanteras sel-sel komunis bawah tanah.
Beliau kemudian dilantik sebagai komander darat dalam Operasi Bamboo pada 1976 bagi melumpuhkan Unit Serangan Kelima yang beroperasi di hutan Perak. Menurutnya, antara kejayaan terbesar operasi itu ialah membawa kepada pembelotan beramai-ramai Unit Serangan Kelima tanpa disedari Rejimen Ke-13 Parti Komunis Malaya yang berpangkalan di selatan Thailand sehingga kumpulan itu akhirnya menyerah diri pada 1989.
Walaupun sering dikaitkan dengan kejayaan operasi berisiko tinggi, Kiong menegaskan penghormatan sebenar wajar diberikan kepada anggota polis dan tentera yang terkorban ketika mempertahankan negara.
Beliau berkata sepanjang tempoh penyamaran itu, keluarganya hidup dalam kebimbangan kerana tidak pernah mengetahui sama ada beliau akan pulang dengan selamat atau sebaliknya. Katanya, perjuangan mereka bukan untuk mengejar pingat, tetapi demi memastikan anak-anak Malaysia dapat hidup dalam suasana aman.
Kiong turut mengingatkan bahawa Malaysia tidak dibina atas nasib semata-mata, sebaliknya hasil keberanian, ketabahan dan pengorbanan mereka yang sanggup mempertaruhkan nyawa mempertahankan negara. Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa sedih apabila masih ada pihak yang cuba memecah-belahkan rakyat kerana tindakan sedemikian disifatkan sebagai tidak menghormati pengorbanan mereka yang berjuang demi keamanan dan perpaduan.
Penerima Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) itu, yang kini merupakan antara hanya empat penerima anugerah tertinggi keberanian negara yang masih hidup, berkata pingat yang diterimanya adalah milik semua anggota polis, tentera serta keluarga mereka yang bersama-sama menanggung kesukaran mempertahankan tanah air.
Beliau berkata, proses menghasilkan buku tersebut mengambil masa hampir dua dekad dan berharap kisah yang dikongsikan mampu menyedarkan masyarakat mengenai nilai keamanan. Menurutnya, jika pengalaman itu dapat mengelakkan walaupun setitis darah daripada tertumpah pada masa depan, segala pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan selama ini adalah amat bermakna.
– BTSMedia.my



